suria

Pembeli Ambil Pendekatan Tunggu Dan Lihat Sektor Hartanah

JOHOR BAHARU: Pembeli mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam membuat keputusan untuk membeli hartanah pada separuh pertama tahun depan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada April, kata pemaju hartanah pada Jumaat.

Pengarah Eksekutif Hartanah dan Pembinaan Wilayah Selatan dan Singapura Sunway Bhd, Tan Wee Bee berkata pembeli hartanah dijangka mengambil pendirian tersebut berikutan mereka menantikan kesan daripada inisiatif ini ke atas pasaran.

"Kami sedang menilai kesannya. Kami tidak tahu apa dan banyak mana kesannya ke atas pasaran, bagaimanapun, buat masa ini, kami kira ia adalah minimum.

"Seperti biasa, setiap kali terdapat pelaksanaan dasar, pembeli cenderung mengambil pendekatan tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita selepas pengenalan Sunway International School (SIS) Sunway Iskandar, Nusajaya, pada lewat Khamis.

Tan berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pasaran hartanah akan terjejas dengan pelaksanaan CBP pada tahun depan serta penghapusan subsidi minyak.

Beliau berkata pemaju hartanah memahami dengan perubahan yang berlaku dalam pasaran dan akan terus menggunakan strategi yang sesuai sejajar dengan aliran perubahan.

"Saya tidak kata ia akan menggalakkan pada tahun depan tetapi akan mencabar. Bagaimanapun, pemaju hartanah akan mempunyai strategi mereka sendiri untuk melangkah ke hadapan dan cara untuk membezakan mereka daripada pasaran umum dan pada dasarnya untuk terus mencatat prestasi pada tahun depan," katanya.

Tan berkata pemaju hartanah akan terus membangunkan produk mengikut keperluan pasaran.

Mengenai SIS Sunway Iskandar, beliau berkata penduduk di Iskandar akan mempunyai keistimewaan dari segi pendidikan bertaraf dunia yang akan membentuk gaya hidup komuniti secara holistik.

Dijadualkan pengambilan pertama pada 2017, SIS Sunway Iskandar akan menjadi satu-satunya sekolah di Iskandar menawarkan kurikulum Kanada (Ontario).

Hartanah

Artikel Sebelum

Artikel Lain