suria

Bakal CEO Baru Mas Seorang Berpengalaman Luas Dalam Pemulihan Syarikat Penerbangan

Bakal CEO Mas yang baru, Christoph R. Mueller.

KUALA LUMPUR: Bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat baru Penerbangan Malaysia (Mas) Christoph R. Mueller, adalah seorang veteran industri penerbangan dengan rekod yang cemerlang.

Beliau memang dikenali di dalam industri ini sebagai seorang yang mempunyai kepakaran dalam memulihkan syarikat penerbangan yang bermasalah.

Khazanah Nasional Bhd pada Jumaat telah mengumumkan pelantikan Mueller sebagai CEO syarikat baru yang akan mengambilalih operasi MAS serta senarai para anggota lembaga yang baru. Pelantikan Mueller bermula 1 Januari tahun depan.

Mueller yang memiliki pengalaman selama 25 tahun dalam bidang penerbangan buat masa ini adalah CEO, Aer Lingus Plc (Aer Lingus), syarikat penerbangan Ireland sejak 2009.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata: “Christoph Mueller adalah calon yang paling sesuai dan tepat untuk menerajui Mas dan dia kini diamanahkan dengan dua misi yang penting iaitu memulihkan syarikat penerbangan kebangsaan kita dan melatih bakal peneraju tempatan."

Mueller, adalah seorang warga Jerman.

“Keseluruhannya dia memiliki pengalaman selama sepuluh tahun sebagai ketua pegawai eksekutif dalam sektor penerbangan juga dalam sektor pelancongan. Mueller juga mempunyai rekod yang kukuh dalam melaksanakan transformasi dalam industri ini,” ujarnya lagi.

Kekuatannya yang lain ialah rekod yang cemerlang dalam perancangan strategik dan kewangan serta pengstrukturan semula syarikat yang bermasalah.

Ini termasuklah kemampuan dan keberanian untuk melaksanakan perubahan, memperkenalkan teknologi baru, pengedaran dan juga penyelesaian peruncitan.

Di Aer Lingus, dalam empat tahun setengah yang terakhir ini, Mueller telah berjaya memulihkan syarikat yang tenat ini menjadi sebuah syarikat penerbangan yang semakin dikenali di Eropah dan membuat keuntungan.

Keupayaan Aer Lingus untuk mengekalkan keuntangannya secara stabil dibina atas pendekatan dan model strategi baru sekaligus membolehkan syarikat yang berusia 78 tahun itu bersaing dengan nama-nama besar dan dalam pasaran yang kompleks ini.

Ia juga telah berjaya menjadikan Dublin sebagai salah satu daripada hub penerbangan utama untuk rangkaian Atlantik Utara.

Di bawah pengurusannya, Aer Lingus telah menembusi pelbagai pasaran baru dengan model bisnes yang menguntungkan.

Keupayaannya memulihkan syarikat penerbangan yang tenat bermula di Lufthansa, yang mana ketika itu beliau adalah naib presiden kanan untuk pengurusan rangkaian dan perancangan korporat.

Antara 1994 hingga 1999 beliau telah berjaya memulihkan Lufthansa kembali menjadi sebuah syarikat penerbangan yang menguntungkan.

Sebaik sahaja tugasnya selesai di Lufthansa, Mueller telah berpindah ke Sabena S.A., pada 1999. Sabena adalah sebahagian daripada anak syarikat Kumpulan Swissair.

Di Sabena, beliau menyandang jawatan sebagai ketua pegawai operasi sebelum dilantik sebagai CEO.

Beliau kemudian dilantik sebagai pengerusi Delta Air Transport (DAT).

Hari ini DAT telah bertukar nama sebagai Brussels Airlines dan merupakan syarikat penerbangan Belgium.

Artikel Sebelum

Ringgit Dijangka Terus Lemah

Artikel Berikut

Artikel Lain