suria

Pelantikan Mueller Tanda Khazanah Komited Perkukuhkan MAS

KUANTAN: Pelantikan Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS) baharu, menunjukkan Khazanah Nasional Bhd komited untuk memperkukuhkan kembali syarikat penerbangan negara itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kemampuan Mueller memulihkan syarikat penerbangan Ireland yang bermasalah, Aer Lingus dalam tempoh setahun, diyakini mampu melonjak kembali prestasi MAS sebagai antara syarikat penerbangan terbaik dunia.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul soal MAS atau Khazanah Nasional menafikan kebolehan anak tempatan menerajui syarikat penerbangan negara itu. 
 
"Memang kita ada ramai anak tempatan yang bersama dengan MAS, sekarang kita hendak menstruktur semula MAS dan telah menggunakan pelbagai cara sebelum ini (tetapi tidak berjaya).
 
"Tidak ada masalah jika kita hendak melantik mana-mana orang yang berkebolehan, yang penting kita perlu dapatkan hasil dan hasrat kita untuk melihat MAS kembali menjadi sebuah syarikat penerbangan yang unggul menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru Zon Pantai Timur di Bukit Gambang Resort, di sini hari ini.

Pelantikan Mueller diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas, sekali gus melenyapkan teka teki mengenai calon yang akan dilantik untuk menerajui MAS melalui pelan pemulihan 12 perkara oleh Khazanah.

Bagaimanapun langkah itu menimbulkan rasa kurang puas hati beberapa pihak, termasuk SukaGuam yang mahukan rakyat tempatan diberi kepercayaan itu.

Liow berkata, kejayaan Mueller melakukan transformasi terhadap syarikat penerbangan bermasalah tidak boleh dinafikan.
 
"Kita berharap Mueller mampu memulihkan MAS dan terus menjadi medium terbaik untuk kita menjalinkan hubungan dengan negara lain di dunia," katanya.

Menteri itu turut menolak dakwaan yang menyatakan Akta MAS yang diluluskan Parlimen 27 Nov lalu menafikan hak pekerja, termasuk untuk membuat apa-apa tuntutan kepada MAS.

Katanya, walaupun seramai 6,000 pekerja diberhentikan, namun mereka tidak dibuang secara mutlak, sebaliknya diberi latihan semula bagi membolehkan mereka diserap ke dalam syarikat berkaitan kerajaan yang lain.

Mueller, Khazanah, MAS

Artikel Lain