suria

Celcom Unjur Segmen Data Meningkat Sejajar Pertumbuhan Pesat Suku Ketiga

KUALA LUMPUR: Pengendali perkhidmatan mudah alih,  Celcom Axiata Bhd, mengunjurkan segmen datanya berkembang sejajar pertumbuhan pesat sektor itu bagi tempoh suku ketiga selain peningkatan penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelanggannya.

Bagi tempoh suku ketiga berakhir 30 September 2014, pendapatan keseluruhan datanya berkembang 20.4 peratus kepada RM1.2 bilion yang menyumbang 20.9 peratus kepada jumlah perolehan Celcom tahun ini sebanyak RM5.8 bilion berbanding 16.7 peratus, tahun lepas.

Dalam satu kenyataan, Celcom berkata pertumbuhan pendapatan internet mudah alih kukuh sebanyak 58.7 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM585 juta yang mencerminkan usaha berterusan Celcom berada pada kedudukan peneraju segmen berkenaan.

Celcom turut optimis terhadap unjuran perniagaannya bagi tempoh suku seterusnya berikutan kejayaan program pengoptimuman rangkaian selain langkah transformasi Teknologi Maklumat (IT).

"Kami yakin langkah transformasi IT ini dapat membantu kami meningkatkan kecekapan serta memaksimumkan peluang pertumbuhan syarikat. Tempoh ini sememangnya mencabar bukan saja bagi kita tetapi industri ini secara keseluruhannya.

"Bagaimanapun, kami akan terus meningkatkan produktiviti bagi semua segmen menerusi pelaksanaan inisiatif strategik kami bagi menjana hasil positif selain mememantapkan prestasi perniagaan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly.

Bagi masa depan, Celcom akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan perhubungan berterusan dengan para pelanggan dan rakan perniagaan menerusi tawaran ganjaran serta perkhidmatan tambah nilai yang terbaik.

Celcom Axiata, segmen data, IT

Artikel Lain