KOTA KINABALU: Pelancongan Malaysia dengan kerjasama Jin Air, anak syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) Korean Air, menyasarkan membawa 15,738 penumpang menerusi 86 penerbangan sewa khas ke Malaysia menerusi kempen tiga bulan sehingga 29 Mac depan. Timbalan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Datuk Azizan Noordin berkata kerjasama itu adalah selaras dengan usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini, khususnya ke Sabah. "Menerusi kerjasama ini, kita menyasarkan seramai 380,000 pelancong dari Korea Selatan melawat negara ini, khususnya Sabah, berbanding 283,000 pada tahun lepas, mengatasi 350,000 pelancong yang dijangkakan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung Jin Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini pada Isnin malam. Penerbangan terus pesawat Boeing 737-800 dari Incheon-Kota Kinabalu itu membawa 183 penumpang termasuk anak kapal, beroperasi tujuh kali seminggu pada waktu puncak manakala empat kali seminggu pada masa permintaan rendah. Azizan menyifatkan kerjasama itu sebagai suatu 'kembara' yang menguntungkan kedua-dua pihak, dan penerbangan terus berkenaan akan disambung sekiranya mendapat sambutan menggalakkan. Beliau percaya keunikan dan keindahan pulau-pulau di Sabah, yang menjadi antara destinasi pelancongan terbaik di dunia, akan memukau pengunjung dari Korea Selatan, terutama ketika musim sejuk di negara itu. Katanya Tourism Malaysia menerusi Pejabat Pelancongan di Seoul yang dibuka sejak 1991, akan menggiatkan promosi bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara itu, termasuk menghadiri ekspo di pasaran Korea Selatan selain membawa media serta agensi pelancongan negara itu ke lawatan suai kenal di negara ini, terutama Sabah. "Sehingga Julai lepas, industri pelancongan negara mencatat peningkatan 9.1 peratus ketibaan pelancong apabila merekodkan ketibaan 16.1 juta pelancong asing dari seluruh dunia. "Daripada jumlah itu, 223,435 terdiri daripada rakyat Korea Selatan, yang merupakan peningkatan 36 peratus dan menunjukkan kita akan mendapat lebih ramai pelancong Korea Selatan tahun depan," katanya. Dalam perkembangan lain, Tourim Malaysia akan melaksanakan tindakan susulan bagi meningkatkan jumlah pelancong dari China yang dilihat masih rendah, sekali gus memulihkan keyakinan pasaran Malaysia pada kaca mata rakyat negara itu, terutama menjelang Malaysia Year of Festivals 2015 (FEST 2015). Sementara itu, Naib Presiden Jin Air Kwang Lee berkata pihaknya menyambut baik program kerjasama penerbangan itu bagi memperkenal rakyat Korea Selatan bahawa Sabah menawarkan destinasi pelancongan menarik, seperti Gunung Kinabalu. "Kota Kinabalu ialah destinasi pelancongan terkemuka dan kami mahu rakyat Korea Selatan melancong ke sini dan menikmati infrastruktur yang baik seperti hotel dan resort di sini," katanya. Lee berkata syarikat itu menawarkan harga tiket yang berpatutan berdasarkan musim, dan tawaran masa kini sebanyak USD$500 bagi perjalanan pergi-balik. Penerbangan oleh Jin Air itu adalah hasil daripada perbincangan oleh TM Seoul dengan pihak Jin Air yang melihat potensi Kota Kinabalu yang menjadi antara destinasi pilihan utama pelancong Korea Selatan pada masa depan.