suria

Semua Perkakasan Samsung Akan Dilengkapi IoT Menjelang 2017

Suasana sekitar ruang pameran Samsung Electronic di Las Vegas selama tiga hari bermula Selasa.

KUALA LUMPUR: Samsung Electronics Co Ltd menyasarkan kesemua perantinya akan dilengkapi kemudahan sistem Internet-of-Things (IoT) menjelang 2017.

Menerusi kemudahan IoT, data boleh dihantar menerusi satu rangkaian tanpa memerlukan interaksi sesama manusia atau pun antara manusia dengan komputer.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Electronics, BK Yoon, dalam satu kenyataan, Rabu, turut menjangkakan dalam tempoh dua tahun, semua televisyen Samsung akan dilengkapi peranti IoT.

Malah, dalam tempoh lima tahun, kesemua perkakasan Samsung turut dilengkapi IoT, sekaligus mempercepatkan lagi penawaran peranti berasaskan IoT dalam  pasaran.

"Samsung sememangnya memiliki pelbagai peranti berasaskan IoT. Tahun lepas misalnya, Samsung telah menyerahkan lebih 665 juta produk dan angka itu dijangkakan terus meningkat.

"Syarikat ini sudah mula menawarkan kelebihan yang ada dalam peranti itu serta kemudahannya untuk kegunaan seharian serta ada di sekitar kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Elektronik Pengguna Antarabangsa (CES) di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Yoon, turut menekankan kepentingan bagi kalangan pemaju sistem komputer membangunkan IoT berkenaan.

Samsung juga, katanya, akan melabur lebih US$100 juta (US=RM3.5705) bagi komuniti pemaju sistem seumpamanya, tahun ini.

"IoT ini berpotensi untuk mentransformasikan masyarakat, ekonomi serta cara kehidupan kita," katanya.

Samsung Electronics, IoT, BK Yoon

Artikel Lain