suria

Proton Bantu Pemilik Kereta Nasional Terjejas Akibat Banjir

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (PROTON) akan berbincang dengan beberapa institusi perbankan supaya dapat menawarkan moratorium atau penangguhan banyaran ansuran kepada pelanggan kereta nasional itu yang terjejas akibat banjir.

Langkah itu susulan pengumuman Bank Muamalat Malaysia Bhd, AmBank (M) Bhd dan Malayan Banking Bhd (Maybank) memberi kelonggaran sehingga enam bulan baru-baru ini.

Ketiga-tiga institusi perbankan itu juga turut mengecualikan caj-caj tertentu berkaitan pembayaran lewat atau caj penalti untuk tempoh sekali sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah mengalu-alukan usaha tambahan yang dibuat institusi perbankan berkenaan kerana ia dilihat dapat membantu mengurangkan penderitaan pelanggan Proton yang terjejas akibat banjir.

"Langkah yang dilaksanakan oleh bank-bank ini turut memberikan syarikat asas terbaik bagi memulakan perbincangan dengan institusi perbankan lain untuk melihat sama ada mereka juga mampu menghulurkan bantuan yang sama kepada semua pemilik kereta Proton yang terjejas.

"Justeru, syarikat akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara ini apabila memperoleh persetujuan daripada bank-bank yang lain," katanya.

Berikutan tawaran moratorium berkenaan, pemilik kereta Proton serta keluarga yang terjejas kini dapat memberi tumpuan khusus bagi membaik pulih semula kediaman yang rosak selepas banjir.

Sehubungan itu, pelanggan yang terjejas perlu terus menghubungi bank masing-masing dan menghantar permintaan secepat mungkin supaya bank-bank berkenaan dapat dimaklumkan mengenai keadaan mereka dan tidak mengenakan apa-apa penalti jika terdapat sebarang pembayaran lewat.

Dalam pada itu, pasukan sukarelawan Proton yang membabitkan kakitangan dari Ibu Pejabat dan cawangan di Pantai Timur telah turun padang buat kali ke-2 dalam misi bantuan banjir yang digerakkan menerusi inisiatif syarikat induknya, DRB-HICOM Berhad.

Dilaksanakan dari 7 hingga 9 Januari 2015, misi ini akan membantu membersihkan sekolah di Tanah Merah, Kelantan serta menghulurkan barangan keperluan di Temerloh, Pahang.

Proton, pelanggan, banjir, Bank Muamalat

Artikel Lain