KUALA LUMPUR: RAM Ratings berpandangan tawaran Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk mengambil alih Integrax Bhd tidak akan membawa kesan penarafan kepada sama ada TNB atau Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (LMT), yang dimiliki sebahagianya oleh Integrax. RAM Ratings memberi penarafan AAA/Stabil bagi TNB dan A1/Stabil bagi LMT. Pengambilalihan baki 77.88 peratus pegangan dalam Intergrax oleh TNB dengan harga RM644.2 juta dianggap kecil berkaitan dengan metrik kewangan utamanya. Agensi penarafan itu berkata nisbah gearan dan dana TNB daripada liputan hutang operasi dijangka kekal kukuh masing-masing pada sekitar 0.62 kali dan 0.48 kali, sama ada pengambilalihan itu dibiayai oleh pengumpulan hutang tambahan atau dengan tunai dalaman. "Kami menjangka TNB memperoleh manfaat sinergi segera daripada cadangan pengambilalihan itu kerana ia akan mempunyai lebih banyak kawalan bagi operasi pelabuhan di bawah Integrax -- Lekir Bulk Terminal Sdn Bhd (LBT) dan LMT," kata RAM Ratings dalam satu kenyataan, Khamis. Berikutan pengambilalihan itu, TNB akan memiliki secara efektif 80 peratus saham dalam LBT dan 50 peratus kurang satu saham dalam LMT (sebelumnya masing-masing 17.7 peratus dan 11.1 peratus). LBT adalah penyedia tunggal perkhidmatan pengendalian arang batu dan serahan kepada jana kuasa berkuasa arang batu TNB, manakala LMT ialah penyedia operasi dan penyenggaraan tunggal bagi LBT. "Meskipun pemegangan saham efektif TNB dalam LMT dijangka meningkat, kami memahami bahawa perniagaan dan operasi LMT akan kekal kukuh tanpa sebarang perubahan dalam kakitangan utama," kata RAM Ratings. - Bernama