IPOH: Kerjasama seterusnya antara Kerajaan Perak dan Aceh akan dilihat dari aspek pembangunan, ekonomi dan sebagainya, selain bidang pendidikan yang sudah sedia terjalin, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria. Beliau menegaskan demikian selepas menghadiri taklimat mengenai peluang pelaburan di Aceh oleh Penasihat Kanan Gabenor Aceh dalam Bidang Ekonomi dan Pembangunan Wilayah, Iskandarsyah Bakri, bersama agensi kerajaan Perak. Muhammad Amin berkata, taklimat kali kedua itu untuk berkongsi maklumat mengenai peluang disediakan kedua-dua pihak terutama dalam bidang pendidikan. "Dengan adanya perkongsian maklumat oleh bapa Iskandarsyah ke Perak, kita juga boleh melakukan sesuatu untuk membantu rakyat Aceh untuk terus maju seperti negara lain," katanya. "Perak telah sekian lama menjalinkan kerjasama dengan Aceh khususnya dalam bidang pendidikan dan atas dasar itu terdapat pelajar dari Aceh yang belajar di universiti di sini (Perak) seperti di Kolej Universiti Sultan Azlan Shah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris manakala pelajar dari Malaysia juga ada yang menuntut di beberapa universiti di sana (Aceh)," katanya. Sementara itu, Iskandarsyah berkata beliau berharap kerjasama lebih kukuh dapat dijalinkan dengan universiti di Perak amnya di Malaysia. "Aceh dan Perak akan terus menjalinkan kerjasama bukan hanya dalam bidang pendidikan tetapi juga pelbagai bidang lain serta berkongsi contoh yang diguna pakai di peringkat nasional," katanya. Iskandarsyah berkata, hampir 30 peratus dana dibelanjakan untuk pembangunan pendidikan dan kita juga memastikan pembangunan Aceh bukan bersifat sementara.