suria

PM Umum Langkah Perkukuh Daya Tahan Ekonomi Malaysia

Najib semasa menyampaikan Perutusan Khas Mengenai Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa langkah proaktif untuk memastikan pertumbuhan, pembangunan dan sasaran defisit fiskal Malaysia dapat diteruskan berikutan perubahan dalam landskap ekonomi global.

Dalam perutusan khas beliau pagi Selasa, Najib berkata, kerajaan tetap yakin keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara akan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2015.

Beliau juga berkata akaun semasa dijangka kekal dalam lebihan tahun ini manakala kadar pertukaran ringgit akan dari masa ke semasa disesuaikan bagi mencerminkan asas kukuh Malaysia.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata penurunan harga minyak memerlukan kajian semula andaian fiskal yang menyokong Bajet 2015, dengan unjuran semakan semula mengunjurkan kekurangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.

"Tanpa sebarang langkah fiskal, ia akan membawa kepada peningkatan defisit 3.9 peratus KDNK," kata beliau.

Sementara itu, memandangkan kejatuhan harga minyak, aliran modal tidak menentu dan prospek ekonomi global yang semakin suram, Perdana Menteri juga mengumumkan sasaran defisit fiskal Malaysia akan disemak semula kepada 3.2 peratus pada 2015.

"Ia lebih tinggi berbanding tiga peratus yang digariskan dalam Bajet tetapi lebih rendah berbanding 3.5 peratus pada 2014, dan sejajar dengan komitmen berterusan kerajaan kepada pengukuhan fiskal," kata Najib.

Sementara itu, perbelanjaan pembangunan bagi 2015 akan dikekalkan sepenuhnya, tetapi perbelanjaan operasi dijangka dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion, katanya.


defisit fiskal, KDNK, ekonomi global

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain