KUALA LUMPUR: Pelabur perlu merebut peluang pelaburan di wilayah kecil Lembah Mekong (GMS) melalui Thailand bgi memperoleh pendedahan di rantau itu dan memanfaatkan pertumbuhannya. Dalam satu kenyataan pada Isnin, Maybank Kim Eng berkata, perkembangan terbarudi GMS, termasuk perdagangan rentas sempadan, pelaburan dan mobiliti buruh yang lebih baik, telah membantu merangsang aktiviti ekonomi. GMS adalah projek pembangunan dibiayai Bank Pembangunan Asia pada 1992yang menyatukan enam negara di Lembah Sungai Mekong, iaitu Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam dan wilayah Yunnan, China. Ia mempunyai gabungan penduduk seramai 330 juta. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata 2015 adalah tahun untuk Thailand kembali selepas kemelut politik 2014 diatasi, membuka jalan untuk program perbelanjaan awam yang akan merangsang ekonomi. "Prestasi eksport dan sentimen pelabur yang lebih baik juga akan meningkatkan pertumbuhan. Sekuriti yang disenarai di Bursa Saham Thailand (SET) menjadi lebih menarik sebagai kenderaan pelaburan ke GMS," kata Abdul Farid. Indeks SET ditutup 15 peratus lebih kukuh pada akhir 2014 berbanding setahun sebelum itu, dengan purata dagangan harian kira-kira US$1.38 bilion, tertinggi di Asean, walaupun tahun lepas negara itu menghadapi kemelut politik. Maybank Kim Eng berkata, peluang yang disediakan SET sebagai gerbang ke GMS dijangka meningkatkan lagi minat kepada bursa berkenaan. Rantau itu dijangka tumbuh 7.5 peratus setahun dan menggandakan output ekonominya menjelang 2020. "Kini terdapat lebih 100 firma disenarai di Thailand atau 17 peratus daripada keseluruhan syarikat yang disenarai, memiliki perniagaan di GMS," katanya.