KOTA BARU: Syarikat pengeluar lebih 100 barangan plastik dari Bangkok, Thailand, Srithai Superware Public Company Ltd, merancang memperluas pasarannya ke Malaysia dengan menjadikan Kota Baharu sebagai pintu masuk pertama ke negara ini. Pengurus Unit Daerahnya Khanistha Kaewsung berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Koperasi Maju Gabungan Nusantara Malaysia Bhd untuk mengembangkan barangan pengeluarannya dalam tempoh terdekat. "Sehingga ini kita sudah melantik lebih 10 wakil di Kelantan untuk memasarkan produk keluaran syarikat ini. "Barangan yang dijual oleh syarikat kami termasuk pinggan, mangkuk serta pelbagai barangan elektrik," katanya menerusi jurubahasa, pada majlis memperkenal barangan syarikat itu di Pasar Besar Melor di sini, Ahad. Beliau berkata produk yang dihasilkan syrikat itu dijual 30 peratus lebih murah berbanding produk sama yang dikeluarkan oleh syarikat ternama lain. "Kualitinya dijamin, selain cantik, daya tahan yang tinggi dan selamat digunakan oleh keluarga di rumah," katanya. Khanistha berkata barangan keluaran syarikatnya kini sudah dipasarkan di 120 negara, termasuk di ASEAN seperti Indonesia. Syarikat itu yang telah bertapak lebih 50 tahun dan mempunyai kilang antara terbesar di Bangkok, turut menggondol beberapa anugerah di peringkat dalam dan luar negara, katanya. Khanistha berkata, bagi strategi jangka panjang, pihaknya sedang berusaha untuk memasuki pasaran negara Arab, sekali gus memperluas lagi rantaian perniagaan ke seluruh dunia.