KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatat keuntungan pracukai lebih tinggi kepada RM9.11 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding RM8.86 bilion pada 2013.
Pendapatannya turut meningkat kepada RM35.71 bilion daripada RM33.25 bilion, sebelum ini.
Bagi tempoh suku keempat tahun lepas, Maybank mencatatkan keuntungan pracukai sebanyak RM2.43 bilion yang disokong pendapatan RM9.66 bilion.
Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor menyifatkan keputusan kumpulan yang lebih baik itu dipacu pengukuhan segmen francais di rantau ini.
Ia, katanya, membantu Maybank mencapai prestasi lebih baik biarpun berdepan persekitaran global yang goyah pada tahun lepas.
"Tindakan kami mempelbagaikan usaha serta memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan dalam segmen pasaran yang menguntungkan serta disiplin pengurusan kos, terbukti dapat memastikan kami terus mewujudkan nilai kepada semua pemegang saham," katanya pada sidang media di sini, Khamis.