KUALA LUMPUR: Persatuan Pengedar Perodua meminta kerajaan membenarkan anggotanya untuk menuntut 10 peratus cukai jualan ke atas invois yang dikeluarkan sebelum perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada 1 April 2015. Presidennya, Wan Kamal Wan Ismail dalam satu kenyataan, berkata sekarang ini semua kenderaan baharu dikenakan cukai 10 peratus dan ini akan diganti dengan GST sebanyak enam peratus selepas 1 April. "Ini bermakna stok yang tidak dijual, di mana cukai jualan 10 peratus sudah dibayar, akan dikenakan lagi tambahan enam peratus GST selepas 1 April. "Setiap pengedar akan rugi secara purata sebanyak RM230,000 akibat dua kali cukai selepas 1 April," katanya. Wan Kamal berkata, pengedar Perodua kebanyakannya terdiri daripada syarikat bersaiz sederhana dan kerugian ini akan memberikan kesan yang besar ke atas perniagaan mereka, terutamanya dari segi aliran tunai dan keuntungan. -- Bernama