suria

Bioalpha Sedia Tembusi Pasaran Asia Barat

KUALA LUMPUR: Bioalpha Holdings Bhd, yang memulakan dagangan di Pasaran Ace Bursa Malaysia, sudah bersedia untuk menembusi pasaran Asia Barat mulai pertengahan 2015.

Bercakap kepada pemberita selepas penyenaraian saham itu di sini, Pengarah Urusannya, Hon Tian Kok berkata, syarikat suplemen kesihatan itu menandatangani memorandum persefahaman dengan Fatima Group Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun lepas.

Fatima Group yang memiliki lebih 20 pasar raya besar di seluruh UAE, akan berperanan sebagai pengedar produk Bioalpha di negara berkenaan.

"Kami sedang mendaftarkan produk-produk herba kami dengan jabatan berkaitan di Dubai, dan sebaik diluluskan, eksport ke UAE akan dimulakan," katanya.

Pada pembukaan, saham Bioalpha Holdings meningkat 30 sen, dengan 8.49 juta saham diurusniagakan.

Memandangkan Malaysia dianggap sebagai hab halal dunia, Bioalpha  merasakan sesuai untuk syarikat itu mengeksploitasikan kedudukan itu, dan bekerja rapat dengan kerajaan untuk tujuan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bioalpha Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, syarikat itu juga akan menjadikan Asean sebagai  domainnya susulan penubuhan Komuniti Ekonomi Asean menjelang akhir tahun.

"Kami mahu meneroka Asean dan menjangkauinya dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang atas dua faktor - menimba pengalaman dan peluang penjenamaan," katanya.

Bioalpha kini sudah pun menembusi pasaran Indonesia dan Australia manakala dalam negara, kilang syarikat itu beroperasi di beberapa tempat di Selangor dan Perak.

Bioalpha membuat tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan tawaran 100 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 20 sen sesaham melibatkan 20 juta saham untuk permohonan awam dan 80 juta saham menerusi penempatan.

Syarikat itu memiliki modal pasaran kira-kira RM92.7 juta.

Menerusi IPO, syarikat itu mengumpul RM20 juta yang akan digunakan untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan, perbelanjaan modal (capex), pembayaran balik pinjaman bank, selain modal kerja untuk peluasan perniagaan kewangan dan meningkatkan strategi pertumbuhan.

Syarikat itu memperuntukkan RM3 juta untuk capex bagi membina kilang pemprosesan herba di Pasir Raja, Terengganu.

Bioalpha Holdings terlibat dalam pengilangan dan penjualan produk suplemen kesihatan siap proses dan separa-siap dan merupakan pengeluar reka bentuk asal menggunakan jenama sendiri.

Produk suplemen kesihatan keluarannya termasuk herba siap proses, bahan berformulasi, makanan fungsian selain suplemen herba dan bukan herba.

Sementara itu pada penutup, saham Bioalpha meningkat tujuh sen kepada 27 sen, dengan 133.57 juta saham diurusniagakan. Saham itu didagangkan antara 25.5 sen dan 33 sen pada hari pertama.-- Bernama

Artikel Lain