KUALA LUMPUR: Scientex Quatari Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Scientex Bhd akan membina 1,420 unit rumah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar RM184 juta di Scientex Pasir Gudang Park di Johor. Pengerusi Scientex Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dalam satu kenyataan hari ini berkata projek tersebut yang dijangka siap pada 2017, adalah untuk menyokong Projek Rumah Mampu Milik kerajaan negeri Johor bagi menyediakan hartanah mampu milik di Pasir Gudang. "Hartanah-hartanah ini akan berharga daripada RM80,000 hingga RM150,000 seunit. Sejak 1995, kami telah menyerahkan lebih 9,000 unit rumah mampu milik di Johor yang berharga di bawah RM200,000 seunit. "Kami telah membina dan menyerahkan 7,600 unit Taman Scientex di Pasir Gudang sahaja yang diunjur mempunyai penduduk 30,000 orang," katanya sambil menambah syarikat itu akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi projek pembangunan masa depan untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat. Pemohon dengan pendapatan isi rumah bulanan RM5,000 dan ke bawah layak membeli rumah berharga RM80,000 seunit dan pemohon dengan pendapatan isi rumah bulanan RM8,000 dan ke bawah layak membeli rumah berharga RM150,000 seunit.