suria

TPP: AS Fahami Dasar Bumiputera

Michael Froman

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) memahami sensitiviti berhubung dasar Bumiputera dalam rundingan perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP).

Wakil Perdagangan AS, Michael Froman berkata, negaranya itu turut menyokong sebarang dasar yang menggalakkan kesaksamaan kekayaan serta pembasmian kemiskinan.

"Kebimbangan utama terhadap TPP ini adalah usaha pembasmian kemiskinan.

"Sudah pasti, setiap negara menguruskan aspek ini menerusi cara mereka sendiri. Namun, ia juga menjadi objektif kami serta motivasi utama TPP," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sesi ceramah anjuran kumpulan pemikir tempatan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) di sini, Khamis.

Kira-kira 100 orang mewakili pelbagai kumpulan pemikir tempatan, menghadiri acara berkenaan.

Sambil mengakui rundingan TPP itu kini menghampiri penghujungnya, Froman bagaimanapun menegaskan tiada sebarang desakan untuk mengakhirinya secara tergesa-gesa berikutan tiada sebarang tarikh akhir yang ditetapkan.

Beliau turut menyifatkan TPP sebagai perjanjian perdagangan pertama yang menyediakan bab khusus mengenai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ini bagi mengiktiraf kepentingan PKS sebagai tulang belakang ekonomi serta sektor yang menyediakan banyak peluang pekerjaan, katanya.

Merujuk hak harta intelek bagi produk farmaseutikal, Froman berpendapat sememangnya ada keperluan untuk mewujudkan satu rejim hak cipta khusus bagi negara membangun.

Ia, katanya, berdasarkan tahap pembangunan mereka untuk mengekalkan keupayaan syarikat berinovasi namun pada masa sama memastikan kos perubatan yang rendah.

Sementara itu, Ketua Jabatan (Jabatan Ekonomi  and  Pasaran Modal) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Nurhisham Hussein, berkata Malaysia perlu memikirkan semula pendekatannya menangani aspek integrasi sosial, kemiskinan dan ketidaksamaan dalam dasar Bumiputera tanpa perlu mengetepikannya.

"TPP akan memaksa kita untuk memikirkan dasar Bumiputera jika kita mengetepikan soal politik. Realitinya, sememangnya wujud ketidakseimbangan dalam dasar itu," katanya.

Cadangan perjanjian TPP yang menyentuh aspek peraturan dan pelaburan itu melibatkan 12 negara di sekitar rantau Asia Pasifik iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS serta Vietnam.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain