suria

Microsoft Merancang Merobah Kedai Runcit Nokia

KUALA LUMPUR: Microsoft merancang untuk merobah 39 kedai runcit Nokia di seluruh Malaysia kepada kedai Microsoft menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Jualan Peranti Mudah Alih Untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, Bruce Howe berkata, Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia Pasifik yang menjalankan proses penjenamaan semula itu.

"Transisi ini adalah langkah besar untuk jenama kami di samping memberi peluang meningkatkan penguasaan runcit dan memperluaskan produk Microsoft di Malaysia," katanya kepada Bernama di pelancaran kedai penjual semula di Suria KLCC di sini, Sabtu.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Operasi Microsoft Malaysia, Rukmani Subramaniam berkata, kedai penjual semula yang sah syarikat itu telah menunjukkan perkembangan yang pesat untuk perniagaan tempatan Microsoft.

"Kami mendapat maklum balas daripada pelanggan Microsoft yang mereka sukar mendapatkan kedai Microsoft di Malaysia. Oleh itu kami mewujudkan transisi ini untuk memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk mengunjungi dan belajar bagaimana untuk memanfaatkan teknologi Microsoft," katanya.

Mengulas mengenai kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) ke atas produk Microsoft, Rukmani berkata, CBP tidak memberi kesan yang besar ke atas permintaan dan jualan produk syarikatnya.

"Saya berpendapat keseluruhan sentimen orang ramai mengenai CBP agak negatif, tetapi kami menghasilkan peranti untuk setiap peringkat pengguna dan bagi setiap titik harga yang mewarisi beberapa ciri-ciri canggih.

"Dengan CBP, harga yang dikenakan ke atas pengguna tidak banyak berubah dan harga sesetengah produk mungkin turun," katanya.

Microsoft, Nokia

Artikel Sebelum

Artikel Lain