KUALA LUMPUR: Tigerair yang akan melancarkan perkhidmatan Singapura-Ipoh pada 29 Mei ini dijangka dapat merangsang bilangan ketibaan pelancong dan ahli perniagaan dari republik itu ke Perak, melalui empat penerbangan setiap minggu. Dalam satu kenyataan pada Rabu, peneraju syarikat penerbangan tambang rendah berpangkalan di Singapura itu berkata, ia akan membawa 1,440 penumpang setiap minggu menggunakan pesawat Airbus 320. Ipoh yang merupakan bandar raya keempat terbesar di Malaysia akan menjadi destinasi keempat Tigerair di Malaysia selepas Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang. "Kami gembira dapat menjadikan Ipoh sebagai sebahagian jaringan kami di Asia dan ini akan memudahkan orang ramai mengembara dari Singapura ke Ipoh sama ada untuk percutian atau perniagaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Lee Lik Hsin. Laluan baharu itu akan menjadikan Tigerair syarikat pertama mengoperasikan penerbangan jet ke Ipoh. Penerbangan sulung TR2482 akan berlepas dari Singapura pada 4 petang, 29 Mei dan tiba di Ipoh pada 5.20 petang, manakala TR2483 akan berlepas dari Ipoh pada 7 malam dan tiba di Singapura pada 8.20 malam. Tigerair yang ditubuhkan pada 2004 adalah anak syarikat Singapore Airlines Group. Ia mengendalikan penerbangan ke 37 destinasi di seluruh Asia seperti Bangladesh, Greater China, India, Indonesia, Maldives, Myanmar, Filipina Taiwan, Thailand dan Vietnam. -- Bernama