BRUSSELS: DAS (Dr. Aishah Solution) dari Kedah menjalin kerjasama teknologi dengan syarikat utama Belgium yang terlibat dalam bidang pengeluaran makanan bijirin dan makanan pemberi tenaga, Belourthe Co. di Brussels. Ketua Pegawai Eksekutif DAS, Aishah Tul Radziah berkata, DAS yang ditubuhkan pada Mei 2010, giat mempromosi produk makanan kesihatan seperti bijirin dan makanan pemberi tenaga di Malaysia, yang turut menyumbang kepada kesihatan awam. "Belourthe menghasilkan pelbagai jenis bijirin, termasuk bijirin jenama dialife untuk penghidap diabetes. Bahan yang digunakan oleh syarikat Belgium itu akan kami gunakan untuk menghasilkan produk kami. "Kami juga berminat mendapatkan tepung pengikat dan terhidrolisis dari syarikat yang sama," kata Aishah kepada Bernama selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) sempena lawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed ke sini, baru-baru ini. Aishah dan suaminya Fisol Ahmed, yang juga pengerusi syarikat itu, kedua-dua dalam profesion kedoktoran, menyedari sepenuhnya masalah nutrisi di Malaysia. Aishah berkata minatnya dalam kesihatan umum penduduk bermula hasil daripada minatnya sendiri untuk sihat dari segi fizikal dan cergas dengan menurunkan berat badan yang menjurus kepada pengeluaran produk makanan kesihatan seperti bijirin dan makanan pemberi tenaga. "Kami mendapat dorongan padu apabila kami menerima Anugerah Inovasi Sial pada pameran Sial (makanan and minuman) Timur Tengah pada November 2014 di Abu Dhabi, diikuti Anugerah Makanan Halal terbaik pada Gulf Food Awards 2015 serta anugerah inovasi pada SIAL China 2015 Mei tahun ini di Shanghai," kata Aishah. Kunjunan pasangan itu ke Brussels menjadi kenyataan susulan inisiatif untuk membuka pejabat Asean di Kuala Lumpur yang dilancarkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) semasa pameran Mihas (makanan halal) pada Mac 2014 ketika kami menemui wakil korporat asing. "Ini mendorong kami untuk melakukan inisiatif ini dan terbang ke Brussels untuk menandatangani MoU dengan Belourthe," kata Aishah. Sementara itu, DAS melancarkan tiga makanan pemberi tenaga yang dikenali sebagai Dasto durian, Dasto matcha pemberi tenaga (serbuk teh hijau) dan Dastogranola. "Kami merancang mengeksport produk ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan telah menandatangani kontrak dengan Alaqsa di Dubai. Kami juga merancang membeli mesin moden dari Hosokawa Bepex Germany di Leingarten. Syarikat ini membekalkan mesin pengeluaran makanan kepada syarikat besar seperti Nestle dan Unilever, etc. "Kami perlukan mesin baharu yang kelak dapat membantu kami menambah pengeluaran kepada 50,000 dan 90,000 keping sehari. Kapasiti kami yang sedia da kira-kira 2,000 hingga 5,000 kepingan sehari," katanya. Syarikat juga dijangka menerima bantuan kewangan daripada kerajaan Malaysia menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) yang sedang mengkaji permohonan DAS untuk membiayai 50 peratus pelaburan untuk pemerolehan mesin menerusi Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF). Aishah dan suaminya yang menemui Mustapa pada mesyuarat makan tengah hari untuk diaspora Malaysia di Kedutaan Malaysia di Brussels, berkata syarikat Jepun di Ekspo Makanan dan Minuman Jepun di Tokyo pada Mac 2015 menyuarakan 'minat mendalam' terhadap bekalan produk syarikat untuk Sukan Olimpik Musim Panas 2020 di Tokyo. Pasangan itu mengunjurkan kadar obesiti dunia akan meningkat dengan cepat pada masa akan datang dan 'kami yakin produk keluaran kami dapat membantu menangani obesiti yang boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang lain. Selain menjual produk kami kepada pelanggan dalam pelbagai pasaran, kami juga menjalankan ujian klinikal ke atas produk keluaran kami di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. Produk kami didapati mempunyai kandungan gula dan kalori yang rendah tetapi tinggi serat," kata Aishah.-- Bernama