KUALA LUMPUR: AirAsia akan memperkenalkan laluan Kuala Lumpur-Kaohsiung (Taiwan) dalam rangkaiannya mulai 16 Julai ini, dengan tiga penerbangan terus setiap minggu. "Destinasi baru ini bakal menjadikan AirAsia, satu-satunya syarikat penerbangan yang membuat laluan terus yang unik ini," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Rabu. Laluan baharu yang dikendalikan oleh AirAsia Bhd dengan kod penerbangan AK, akan menggunakan perkhidmatan pesawat A320 Airbus dengan kapasiti 180 penumpang. "Kami melihat wujudnya permintaan yang kukuh bagi perjalanan antara Malaysia dan Taiwan. "Laluan terus ke Kaohsiung ini akan memudahkan rancangan perjalanan untuk masyarakat di selatan Taiwan dalam hubungan ke Kuala Lumpur dan seterusnya," kata Ketua Komersial, AirAsia Bhd, Spencer Lee dalam satu kenyataan. Bersempena dengan pengumuman itu, AirAsia menawarkan tambang serendah RM88 di antara 20 hingga 27 Mei ini. Tempoh perjalanan tambang promosi ini adalah dari 16 Julai hingga 31 Mei, 2016.