suria

RMK11: CIMB Harap Kerajaan Terus Majukan Sektor Perbankan

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) berharap kerajaan akan terus memajukan sektor perbankan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata seperti yang dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-10, kumpulan itu bersedia untuk perkembangan berterusan memandangkan sektor perbankan memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Kami turut berharap kerangka perbankan Asean muncul untuk menyokong agenda syarikat kami.

"Industri perbankan telah berada pada kedudukan yang baik dan menerima sokongan positif dari Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan biasiswa Program Transformasi Kemahiran Usahawan Bumiputera (CIMB BEST) di sini, Khamis.

Mengenai skim pemberhentian mutual sukarela (MSS) yang ditawarkan oleh CIMB kepada kakitangannya di Malaysia dan Indonesia baru-baru ini, beliau berkata syarikat itu tidak menetapkan jumlah kakitangan yang dijangka mengambil tawaran tersebut.

"Bagaimanapun, kami menetapkan sasaran nisbah kos pendapatan tahun ini pada 55 peratus dan 50 peratus pada 2018.

"Kami berharap dapat mengekalkan kakitangan terbaik kami namun proses itu memerlukan kos. Kami perlu meletakkan asas bagi mendapatkan strategi, kakitangan dan budaya yang betul untuk memastikan pencepatan pertumbuhan kami," katanya.

Mengenai keputusan bank itu untuk menghentikan tajaan kejohanan skuasy tahun ini, terutama Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur dan Kejohanan Terbuka Malaysia, beliau berkata: "Bagaimanapun, kami akan terus menumpu kepada pembangunan bakat melalui Program Pembangunan Skuasy Remaja dan menyokong pemain memandangkan usaha itu adalah berbaloi kepada kami dalam aspek pulangan bagi pelaburan.

Pada majlis Khamis, Fazeela Gulam Rasul, 32, dan Azudin Daem, 36, masing-masing menerima biasiswa bernilai RM48,000 untuk meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dalam Keusahawanan di Universiti Tun Abdul Razak.

Fazeela, usahawan produk tenusu, dan Azudin, usahawan percetakan, termasuk dalam kumpulan perintis seramai 181 graduan CIMB BEST.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Tengku Zafrul berkata, CIMB mengalu-alukan RMK11 yang merupakan usaha terpilih dengan mengenalpasti pelaksana berimpak tinggi dengan kos yang rendah dan boleh menjadi yang paling pesat dilaksanakan.

"Kami melihat ini sebagai pendekatan bertanggungjawab memandangkan ia jelas menunjukkan kerajaan mengambil langkah lain untuk berhemat dan mengeluarkan manfaat maksimum daripada setiap ringgit yang dibelanjakannya.

"Ia juga akan menjadi positif untuk kunci kira-kira fiskal positif dalam mencari usaha berimpak maksimum pada kos yang paling rendah," katanya.

Tengku Zafrul berkata buat julung kalinya, sasaran pertumbuhan negara akan merangkumi pendapatan isirumah dan Indeks Kesejahteraan Malaysia, selain pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar dan pendapatan perkapita.

"Pastinya ini adalah satu pendekatan yang lebih holistik untuk pembangunan dan memberi perhatian kepada ketidaksamaan pendapatan, perumahan mampu milik dan kos sara hidup antara lain yang akan membawa kepada pertumbuhan mampan," katanya.-- Bernama



CIMB, RMK11, Asean

Artikel Sebelum

Artikel Lain