suria

PIDM Raih Pendapatan RM374.7 Juta Pada 2014

KUALA LUMPUR: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) meraih pendapatan berjumlah RM374.7 juta pada 2014, merangkumi premium RM311 juta dan pendapatan pelaburan sebanyak RM63.7 juta.

Perbelanjaan operasi sebanyak RM83.9 juta adalah RM17.1 juta atau 17 peratus di bawah bajet, kata badan berkanun itu dalam pengumuman hasil operasinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2014.

Berikutan itu, PIDM berkata lebihan bersihnya bagi tahun itu berjumlah RM290.8 juta berbanding bajet sebanyak RM261 juta.

PIDM adalah sebuah badan berkanun diluluskan Parlimen bagi melindungi kewangan pengguna dan ia menguruskan enam kumpulan dana berasingan di bawah Sistem Insurans Deposit Malaysia (DIS) dan Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS) yang menjadi jaringan perlindungan untuk pendeposit dan pemegang polisi.

Dana DIS dan TIPS telah menyumbang kepada sistem kestabilan dan kewangan dengan memberikan jaminan yang jelas untuk deposit dan manfaat khusus polisi insurans dan takaful yang dikeluarkan institusi ahlinya (MI), katanya dalam satu kenyataan.

Merujuk pencapaiannya bagi tahun lepas, PIDM berkata ia berjaya melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi 2014 sebagaimana disenaraikan dalam Pelan Korporat 2014-2016 serta penekanan semula kestabilan sistem kewangan.

Dua dana DIF iaitu masing-masing sistem konvensional dan Islam, berjumlah  RM973.1 juta pada tahun lepas, iaitu peningkatan 27 peratus daripada RM768.3 juta pada 2013.

Empat dana di bawah TIPS pula mencatatkan RM1.234 bilion, meningkat tujuh peratus daripada RM1.148 bilion pada 2013.

Dana itu adalah Dana Perlindungan Insurans Am, Dana Perlindungan Insurans Nyawa, Dana Perlindungan Takaful Am dan Dana Perlindungan Solidariti Keluarga.

"DIS dan TIPS sudah lama memberi jaminan kepada penggunanya supaya lebih tenang apabila memikirkan deposit dan manfaat polisi mereka yang sememangnya terjamin.

"Ini sudah pasti dapat meningkatkan keyakinan yang menjadi faktor penting menjamin kestabilan sistem kewangan," kata Pengurus Besar Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah.

 DIS, yang memberi jaminan sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit bagi satu-satu bank, meliputi 99 peratus pendeposit di 43 bank.

TIPS pula memberi jaminan sehingga RM500,000 atau lebih bagi setiap insurans atau manfaat takaful dan merangkumi 95 peratus pemilik polisi individu di 43 ahli penginsurans, katanya.

Rafiz berkata, baki satu peratus pendeposit dan lima peratus pemegang polisi yang dilindungi - sehingga had tertentu kerana memiliki deposit melebihi  RM250,000 dalam mana-mana bank atau polisi dengan manfaatnya melebihi RM500,000.

Pada tahun lepas, perkembangan signifikan turut dicatatkan bagi meningkatkan keupayaan menyeluruh PIDM dalam aspek penilaian risiko dan pemantauan institusi ahli.

Menurut Rafiz, ini termasuk pelaksanaan model jangkaan bagi sistem amaran awal bank ahli dan meningkatkan sistem penilaian risiko bagi ahli penginsurans.

"Sejajar mandat kami, PIDM turut menyediakan insentif bagi ahli penginsurans untuk melaksanakan pengurusan risiko yang lancar menerusi sistem penilaian premium yang dapat menggalakkan lagi kestabilan sistem kewangan," katanya. 

PIDM

Artikel Lain