KUALA LUMPUR: Hartawan Singapura Peter Lim Eng Hock memperoleh 20 peratus kepentingan dalam portal hartanah baharu milik Tong Kooi Ong, TheEdgeProperty.com, pada harga yang tidak dinyatakan. Ini merupakan usaha pertama Lim dalam sektor teknologi selain pelaburannya dalam kelab bola sepak Sepanyol Valencia, Thompson Hospital, pengedar fesyen FJ Benjamin, dan pengeluar kereta sports McLaren Automotive, demikian menurut The Edge Communications Sdn Bhd dalam satu kenyataan, Khamis. "Teknologi internet yang unik ini membolehkan dan membantu pemegang saham sedia ada mengukuh kedudukan perniagaan mereka. "Model perniagaannya tidak mengganggu dan sejajar dengan kepentingan ejen hartanah, pemaju, bank-bank, dan pengguna awam," kata Lim. Beliau berkata prospek pertumbuhan adalah baik dan perolehan boleh dijana serta-merta. Tong merupakan pemilik The Edge Media Group, penerbit The Edge Singapore, The Edge Malaysia, The Edge Review, The Edge Financial Daily dan theedgemarkets.com. Menurut kenyataan itu, TheEdgeProperty.com akan dilancarkan secara rasmi di Singapura pada 25 Julai setelah membuat penampilan pertama di Malaysia pada 7 Mei. --Bernama