suria

Damansara City Dijangka Beroperasi Penuh Suku Ke-2 2016

KUALA LUMPUR: Damansara City (DC), pembangunan perdana Guocoland (Malaysia) Bhd yang bernilai RM2.5 bilion, dijangka beroperasi penuh pada suku kedua 2016.

Projek itu yang terletak di kawasan seluas 3.44 hektar akan terdiri dari dua menara kediaman bertingkat tinggi, dua menara pejabat Gred-A, sebuah gedung gaya hidup serta sebuah hotel lima bintang, dan dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung sehari.

"Penduduk DC dialu-alukan untuk berpindah pada akhir tahun ini manakala penyewa korporat dan runcit boleh berbuat demikian pada suku kedua tahun depan.

"Kediaman kami sudah 50 peratus ditempah dengan menara korporat sebanyak 70 peratus dan gedung itu telah memperoleh perjanjian secara prinsipnya bagi separuh daripada ruang sewaan," kata Pengarah Urusannya Tan Lee Koon kepada pemberita pada majlis peletakan tiang akhir di sini, Rabu.

Beliau berkata projek itu yang berada di bawah Program Transformasi Ekonomi, dijangka membantu menaik taraf Malaysia ke status negara maju menjelang 2020.

"DC juga maju dari segi teknologi dengan persijilan status MSC, mesra alam dan patuh penilaian Indeks Bangunan Hijau Diperakui.

"Kami melabur membina jalan di bawah jalan raya dan jejambat ke DC dari Jalan Beringin dan Jalan Johar," kata Tan sambil menambah kedua-dua menara kediaman 28 tingkat itu mengandungi 370 unit.


Damansara City

Artikel Lain