suria

BSN Optimis Peningkatan Sumbangan Sijil Premium

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) optimis dengan peningkatan sumbangan skim Sijil Simpanan Premium (SSP) sebanyak 15 peratus kepada pendapatan kumpulan berbanding 10 peratus, ketika ini.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif Bagi Sokong Korporat, Frederick Siew Kin Meng, pihaknya menyasarkan sumbangan kira-kira setengah bilion (ringgit) atau bersamaan 15 peratus menjelang akhir tahun ini.

"Ia dijana menerusi pelbagai kempen seperti karnival sekolah dan sekolah angkat yang turut bertujuan menarik penyertaan masyarakat Cina memandangkan kesedaran mereka terhadap produk BSN masih rendah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan kempen tanggungjawab sosial terbaharu BSN #BSN40KEBAIKAN bertemakan 'Semarakkan Semangat, Sebarkan Kebaikan,' di sini, Jumaat.

Menurutnya, segmen simpanan runcit bank berkenaan yang turut merangkumi SSP dan akaun simpanan deposit tetap, menyumbangkan hampir 50 peratus kepada keseluruhan simpanan BSN.

Setakat Januari tahun ini, BSN mempunyai lebih 9.1 juta pelanggan di seluruh negara dengan jumlah simpanan runcitnya sebanyak RM13.11 bilion.

Bagaimanapun, kata Siew, segmen itu kini berdepan cabaran terutamanya ketika orang ramai kurang membuat simpanan berikutan peningkatan harga barangan di pasaran.

"Kami akan terus menggalakkan orang ramai untuk terus menyimpan wang dan skim SSP itu adalah yang paling sesuai kerana depositnya hanya serendah RM10," katanya.

Menerusi kempen #BSN40KEBAIKAN berkenaan, BSN akan mendermakan RM1 bagi setiap 'hashtag' itu yang digunakan dalam platform media sosial mulai hari ini sehingga 17 Julai depan.

Kutipan wang itu akan disalurkan kepada Rumah Kebajikan Nur Ehsan dan Wad Pediatrik Hospital Universiti Sains Malaysia dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Kempen itu bertujuan menggalakkan nilai murni dan sikap berbudi dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya ketika berdepan bencana seperti pemerdagangan manusia, banjir di Pantai Timur Semenanjung serta gempa bumi di Sabah," katanya.

BSN

Artikel Lain