suria

CEO Baharu Matrade Harap Malaysia Muncul 20 Negara Pengeksport Terbesar Dunia

Dzulkifli Mahmud

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud, berharap Malaysia akan muncul antara 20 negara pengeksport terbesar menjelang 2020.

"Malaysia perlu mendapat sokongan aktiviti perdagangan yang baik bagi memenuhi aspirasinya sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Saya berharap negara ini lebih berorientasikan eksport di peringkat antarabangsa kerana Malaysia seakan menjadi juara dalam kegiatan serantau serta dalam kalangan negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

"Penting bagi kita untuk memastikan Malaysia diiktiraf di serata dunia kerana produk eksportnya yang berkualiti serta inovatif," katanya pada sidang media pertamanya selepas menyandang jawatan itu, Isnin lepas.

Beliau menggantikan Datuk Dr Wong Lai Sum yang bersara.

Malaysia berada pada kedudukan ke-23 sebagai negara pengeksport terbesar dunia bagi 2014, naik berbanding tempat ke-25 pada 2013.

Sehubungan itu, kata Dzulkifli, tiga keutamaannya adalah melonjakkan eksport, meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor eksport serta memastikan Malaysia kekal berdaya saing dari segi produk dan perkhidmatan yang ditawarkannya.

"Sumbangan PKS terhadap sektor eksport hanyalah sekitar 19 peratus dan ini akan meningkat kepada 25 peratus menjelang 2020 selaras aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Kita akan terus menyokong program PKS tempatan seperti 'Large-Corp', 'Going Export (Go-Ex)', program edagang atau 'e-Trade' serta geran pembangunan menerusi kolaborasi dengan SME Bank EXIM Bank," katanya.

Mengulas penyusutan ringgit, Dzulkifli berkata kadar sedia ada hanya memanfaatkan pengeksport tetapi unit tempatan itu dijangka stabil dalam jangka panjang.

Beliau turut menggesa syarikat perniagaan menimbang untuk menggunakan kemudahan penjelasan Renminbi (RMB) yang kini ditawarkan di Malaysia bagi memudahkan urus niaga perdagangan merentasi sempadan.-- Bernama


Matrade, Dzulkifli Mahmud

Artikel Lain