KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada Jumaat menegaskan bahawa ia hanya akan memperuntukkan 2.55 peratus pegangan kepada Rajawali Corporation dari Indonesia seperti perjanjian yang diumumkan pada 12 Jun. "FGV ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang persetujuan mengenai peningkatan pegangan dibuat ataupun sebarang perbincangan diadakan pada masa ini," kata Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah bagi menjelaskan tentang laporan agensi berita bahawa Rajawali menyasar sekurang-kurangnya 21 peratus pegangan dalam FGV. Rajawali merancang meningkatkan pegangannya sekiranya FVG memutuskan untuk mendapatkan pegangan kawalan dalam PT Eagle High Plantations Tbk di mana Rajawali ketika ini merupakan pemegang saham utama dengan menguasai 65.54 peratus kepentingan ekuiti. Mohd Emir berkata FGV ketika ini sedang melalui proses usaha wajar yang perlu dan tidak merasakan spekulasi pada masa ini produktif atau membantu. Beliau juga berkata FGV memberikan penekanan utama komitmennya kepada pemegang sahamnya terutamanya masyarakat peneroka bagi meningkatkan kepentingan ekonomi mereka. "Dan, hak pemilikan mereka kepada tanah mereka dilindungi dengan baik menerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)," katanya sambil menambah sebarang penjelasan lanjut mengenai perjanjian itu boleh disahkan dengan bahagian Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Korporatnya.