KUALA LUMPUR: Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) menyasar membawa lebih 100 barangan cepat laris pengguna tempatan ke Myanmar, Dubai dan United Kingdom pada tahun depan. Presidennya, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, produk itu akan termasuk barangan makanan dan minuman serta isi rumah. "Kami telah menjalankan kajian daya maju selama setahun mengenai bagaimana untuk menembusi pasaran-pasaran ini. Kami menyedari ada permintaan tetapi terdapat beberapa syarat yang anda perlu penuhi seperti standard dan lesen," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prapelancaran Kongres Usahawan Bumiputera Muda 2015 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini, Isnin. Kongres itu dijadualkan berlangsung pada Ogos. Turut hadir pada pelancaran itu Pengerusi SME Corporation Malaysia, Datuk Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Dzulkifli Mahmud. Agil berkata, antara cabaran dalam membangunkan ekosistem usahawan tempatan terutamanya bagi Bumiputera ialah pembiayaan dan akses pasaran. "Kami menyasar meningkatkan keupayaan serta berusaha menyempurnakan ekosistem.. ia tugas yang sukar tetapi kami akan berusaha melakukannya," katanya. Dalam majlis yang sama, GMB turut menjalin kerjasama strategik bersama Aga Touch Sdn Bhd untuk menyediakan kerangka platform pembangunan usahawan tempatan, terutamanya bumiputera, di seluruh negara. Kerjasama strategik tersebut akan berbentuk perkongsian maklumat yang relevan dan juga teknologi yang berkaitan. "Pada Ogos, kita akan melancarkan fasa pertama yang kita panggil risikan perniagaan. Ia adalah alat membuat keputusan untuk usahawan-usahawan bagi membantu mereka dari segi akses kepada kewangan dan pembiayaan dan pemetaan data," kata Agil. GMB telah ditubuhkan pada 9 Mei 2012 dengan fokus utama untuk membantu dan membimbing usahawan dari segi pembangunan kapasiti, kewangan dan peluang pasaran. Organisasi tersebut telah berjaya mengumpulkan lebih 1,000 orang usahawan muda dari pelbagai sektor industri di Malaysia. -- Bernama