suria

Penarafan Fitch Tanda Keyakinan Terhadap Malaysia - CEO Maybank

KUALA LUMPUR: Penarafan positif oleh Fitch Ratings menandakan keyakinan terhadap kekuatan ekonomi negara dari segi akaun semasa, perdagangan dan jumlah rizab yang negara kumpul selama ini, demikian menurut Kumpulan Maybank.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Farid Alias berkata peningkatan penarafan Fitch Ratings amat baik untuk pasaran bon, serta, pasaran tukaran asing dan mungkin menyaksikan ringgit mengukuh sedikit berbanding mata wang lain.

"Saya berpendapat akan ada lebih banyak keyakinan yang akan dilihat atau terbukti dalam bentuk jumlah dana mengalir masuk ke negara ini," kata Abdul Farid kepada TV3 dalam temu bual eksklusif pada Khamis malam.

Pada Rabu, Fitch Ratings menyemak prospeknya terhadap Malaysia kepada stabil daripada negatif dan mengesahkan penarafan kredit asing dan tempatan jangka panjang negara kepada 'A-' dan 'A'.

"Ia adalah satu kejutan yang sangat menyenangkan kerana banyak orang di pasaran sudah menjangkakan penurunan penarafan itu.

"Malah, banyak instrumen kewangan telah pun mengambil kira penurunan," kata Abdul Farid.

Pada Januari, media melaporkan bahawa agensi penarafan itu bimbang tentang ekonomi Malaysia dengan pergantungan pada hasil petroleum negara selepas harga minyak turun sehingga separuh pada tahun lepas.

Laporan itu juga menyatakan bahawa Fitch Ratings "lebih mungkin daripada tidak" untuk menurunkan penarafan Malaysia dalam kajian akan datang pada separuh pertama tahun ini, berdasarkan prospek negatif negara.

Bagaimanapun, dalam keadaan seperti itu, Abdul Farid berkata: "Kita lupa untuk melihat asas-asas ekonomi. Ia mengatakan sebaliknya."

Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar negara berkembang sejak lima tahun lepas manakala lebihan akaun semasa dan rizab antarabangsa berbanding jumlah hutang luar negara sangat kukuh.

Maybank, Fitch

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain