KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia merancang untuk terus meningkatkan bilangan produk kepada hampir dua kali ganda menjelang akhir tahun, di samping kekal sebagai pasar yang mengutamakan pelanggan untuk terus kompetitif dalam platform e-dagang. Sebagai sebahagian daripada Lazada Group yang mengendali aktiviti beli-belah dan destinasi jualan dalam talian nombor satu di Asia Tenggara, Lazada Malaysia akan memanfaatkan lebih banyak kategori barangan, menawarkan lebih banyak pilihan dan barangan kepada pelanggan, termasuk barangan yang sukar didapati daripada kedai di luar talian. "Kami juga mahu memberi lebih akses kepada produk bagi orang ramai yang tinggal di luar bandar, terutama di Sabah and Sarawak. "Ia bukan sahaja memberi keselesaan untuk membeli-belah menggunakan peranti pintar atau komputer dengan menjimatkan kos perjalanan, tetapi juga membolehkan orang ramai menikmati diskaun yang lebih tinggi," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hans-Peter Ressel kepada Bernama. Syarikat berkenaan yang mempunyai gudang di Lembah Klang dan Kuching, masing-masing menawarkan kira-kira 350,000 produk dan menyasar untuk menambah 300,000 barang lagi menjelang akhir tahun. Lazada Group turut beroperasi di Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dan telah melepasi nilau jualai US$70 juta pada Disember 2014 sahaja dengan asas pelanggan dan trafik harian lebih dua juta. Mengenai cabaran yang dihadapi syarikat, Ressel berkata, Lazada berusaha untuk meyakinkan orang ramai yang masih berhati-hati atau menghadapi isu keyakinan untuk membeli barangan dalam talian. "Masih terdapat mereka yang bimbang mendedahkan maklumat kad kredit mereka atau bimbang barangan yang ditempah tidak dihantar. "Berikutan itu kami menawarkan pilihan untuk mereka membuat bayaran apabila barangan diterima," katanya. Menurutnya bagi memastikan pelanggan terus membeli-belah dengan Lazada, sebarang komen, maklum balas dan cadangan yang dikemukakan pelanggan adalah penting untuk syarikat membuat analisis dan menentukan pelan tindakan seterusnya bagi meningkatkan perkhidmatannya. Syarikat itu yang melancarkan perkhidmatan di Malaysia sejak tiga tahun lepas dengan 500 pekerja, merancang meneroka lebih jauh ke dalam kategori rumah dan kehidupan yang merangkumi produk lengkap rumah dan kehidupan, mainan kanak-kanak, kelengkapan rumah, fesyen dan produk sukan. Lazada akan mendidik dan melatih peniaganya cara terbaik untuk mempamerkan produk mereka di segi penerangan dan kandungan serta sudut foto yang betul pada platform pamerannya. Ressel berkata, pelanggan tidak perlu bimbang mengenai kualiti barangan kerana Lazada sentiasa membuat pemeriksaan ke atas peniaganya bagi memastikan pelanggan membeli barangan tulen dengan harga lebih murah berbanding platform beli-belah dalam talian yang lain.