suria

U Mobile Sasar Peningkatan 30 Peratus Jualan, Langganan Prabayar

KUALA LUMPUR: Pengendali telekomunikasi, U Mobile Sdn Bhd, menyasar kenaikan 30 peratus dalam pertumbuhan jualan dan juga kadar langganan kad prabayarnya pada akhir tahun.

Ini susulan pelancaran produk terbaharunya, Pek Prabayar POWER, di sini, Khamis.

Ketua Pegawai Pemasarannya Jasmine Lee berkata, peningkatan penggunaan data dalam kalangan rakyat Malaysia akan memacu pertumbuhan itu.

"Kami menjangka kebanyakan pelanggan kami mahu menaik taraf dengan melanggan produk baharu ini.

"Kami juga mahu merebut bahagian pasaran pengendali lain kerana ia adalah produk yang sangat praktikal. Ramai pelanggan akan melibat nilai dalam produk ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran produk tersebut, di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck.

Pek permulaan baharu POWER Prepaid Pack itu telahpun berada dalam pasaran di semua saluran U Mobile di seluruh negara dan dijual pada harga runcit RM8.50.

Ia menawarkan internet mudah alih kelajuan tinggi 200MB, 150 minit panggilan percuma, RM5 kredit mudah alih, tempoh sah 10 hari, kadar panggilan terendah 5 sen ke semua rangkaian dan internet asas percuma.

Selain itu, pelanggan boleh menikmati internet mudah alih kelajuan tinggi 1GB sebulan dan percuma sepanjang hayat, selagi kad SIM prabayar mereka kekal aktif. -- Bernama 


U Mobile, Jasmine Lee

Artikel Lain