KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia-Jerman yang mencecah paras tinggi 10.9 bilion (1 = RM4.22) tahun lepas dijangka berkembang antara lima dan tujuh peratus lagi tahun ini, kata Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC). Pengarah Eksekutifnya, Alexander Stedtfeld berkata, jumlah perdagangan dijangka melebihi paras 11 bilion menjelang 2016, dipacu oleh perdagangan dalam produk pembuatan. Beliau berkata, import Jerman dari Malaysia adalah yang tertinggi pada 2014 berjumlah 6.1 bilion, manakala eksport ke negara ini berjumlah 14.8 bilion. "Pada masa ini, lebihan perdagangan memihak kepada Malaysia. Susulan trend pertumbuhan stabil, eksport Jerman ke Malaysia diunjur lebih baik pada 2015 dan jumlah perdagangan dijangka mengatasi paras 11 bilion tahun depan," katanya selepas membentangkan keputusan Kaji Selidik Iklim Perniagaan Asean 2015, di sini, Rabu. Steadtfeld berkata, kaji selidik itu menunjukkan secara keseluruhannya, perniagaan Jerman positif dengan prospek ekonomi di Asean. "Menjelang pembentukan Komuniti Ekonomi Asean 2015, perniagaan Jerman termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan pembabitan mereka di rantau ini," katanya. Mengenai persepsi syarikat-syarikat yang berpangkalan di Malaysia, Stedtfeld berkata secara umumnya kaji selidik itu mendapati syarikat Jerman rata-ratanya berpuas hati dengan situasi ekonomi di negara ini. "Sebagai sebuah dewan perniagaan, kami bertemu syarikat-syarikat Jerman setiap bulan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dan kami menerima maklum balas positif. Jadi kami tidak bimbang tentang masa depan syarikat kami di sini dan masa depan Malaysia," katanya. -- BERNAMA