suria

Bank Rakyat Arau Antara Cawangan Terbaik Seluruh Negara

ARAU: Bank Rakyat cawangan Arau yang dinobatkan antara tiga cawangan berprestasi terbaik di seluruh negara pada tahun ini beriltizam untuk terus mengekalkan kedudukan tersebut.

Pengurusnya Zuriani Abd Wahab berkata cawangan Bank Rakyat itu kali pertama merekodkan pencapaian terbaik dalam aspek prestasi pembiayaan, pendeposit dan kutipan balik bayaran pada 2014.

"Dalam mencapai tahap terbaik, kami sentiasa berusaha memperbaiki perkhidmatan kepada pelanggan selain bersaing dengan semua cawangan di seluruh negara.

"Syukur Alhamdulillah, kerja keras para petugas membuahkan hasil," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Bank Rakyat yang diadakan serentak di seluruh negara, Khamis.

Sempena majlis itu, Bank Rakyat cawangan Arau turut menyampaikan zakat sebanyak RM20,000 kepada 200 anak-anak keluarga asnaf yang layak dari empat buah sekolah rendah dalam Parlimen Arau.

Sekolah Rendah Felda Batu 8, Changlun, Kedah pula menerima sumbangan Yayasan Bank Rakyat sebanyak RM2,000 untuk menganjurkan program pecutan akhir Ujian Penilaian Sekolah Rendah, katanya.

Setiausaha Sulit Khas Menteri Besar Perlis, Hasnizam Hassan mewakili Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man menyampaikan sumbangan itu.-- Bernama

Bank Rakyat, Arau, Zuriani Abd Wahab

Artikel Lain