suria

Papua New Guinea Tawar Asean Platform Pasaran Melanesia, Pulau Pasifik Selatan

Peter H Ilau

KUALA LUMPUR: Papua New Guinea, yang berminat untuk menjadi anggota penuh Asean, menawarkan negara Asean platform untuk memperluaskan pasaran mereka sehingga ke Melanesia dan Pulau Pasifik Selatan.

Dutanya Peter H. Ilau, yang mengetuai pegawai-pegawai kanan Papua New Guinea ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean (AMM) ke-48 dan mesyuarat berkaitan di sini, berkata dengan penyertaan Papua New Guinea dalam perkumpulan itu, negara-negara anggota boleh menerokai potensi pasaran yang belum diceburi ini.

"Mereka bukan sahaja akan memperoleh manfaat daripada potensi negara kita tetapi juga negara-negara kepulauan kecil sekitarnya.

"Misalnya, melalui Kumpulan Peneraju Melanesia (MSG), anggota Asean boleh menerokai potensi negara anggota kumpulan itu, termasuk Fiji, Vanuatu dan Kepulauan Solomon," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini, Selasa.

Ilau, yang juga Duta ke Indonesia, berada di sini untuk menghadiri AMM ke-48 dan mesyuarat berkaitan yang bermula sejak Sabtu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

"Selain itu, kami (Papua New Guinea) dan juga kumpulan ini (MSG) boleh mendapat faedah ekonomi melalui saiz ASEAN, Keluaran Dalam Negara Kasar, demografi serta saiz populasi, potensi pasaran dan dagangan yang merupakan platform yang baik," katanya.

Ilau berkata MSG, yang termasuk gerakan pembebasan Kanak dari New Caledonia (FLNKS), mempunyai banyak komoditi mentah produk pertanian seperti kopi dan kelapa serta makanan laut, tuna.

Sementara itu, negara anggota ASEAN juga boleh memanfaatkan industri utama Papua New Guinea seperti minyak dan gas, perlombongan dan makanan laut, yang telah menjadi antara pendorong utama pertumbuhan negara yang dihuni lebih tujuh juta penduduk itu.

Papua New Guinea, yang menjadi pemerhati dalam perkumpulan 10 negara itu sejak 1981 menyatakan hasrat untuk menjadi anggota penuh pada 2010 dan sejak itu telah mengikuti siri dialog dalam perkumpulan berkenaan.

Terletak di barat daya Pasifik, negara berkenaan kaya dengan sumber alam semula jadi seperti minyak dan gas.

Asean terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Myanmar.-- Bernama


Papua New Guinea, Melanesia, Asean

Artikel Lain