suria

Sundar Pichai Nama Yang Tak Dikenali Kini Ketuai Google

Sundar Pichai, CEO Google yang baru.

SAN FRANCISCO (Amerika Syarikat): Namanya memang tidak dikenali malah ramai yang akan bertanya 'Siapa dia?' tetapi teknokrat ini kini mengetuai Google sebagai ketua pegawai eksekutifnya yang baru.

Sundar Pichai sebelum ini pernah bekerja dan mengepalai syarikat dengan produk yang terbaik termasuklah berkhidmat di Chrome dan perisian mobil Android.

Isnin lalu, Pichai, 43, telah dinamakan sebagai orang nombor satu gergasi Internet, Google.

Google telah memperkenalkan struktur korporatnya yang baru dengan membentuk sebuah anak syarikat yang dinamakan 'Alphabet'.

Alphabet akan diketuai oleh Larry Page, veteran Google yang bertanggungjawab mengangkat Pichai, yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai naib presiden kanan produk.

“Saya berasa sangat bertuah kerana memiliki seorang yang sangat berbakat seperti Pichai untuk mengetuai Google dan ini memberi ruang kepada saya untuk mengstruktur semula syarikat ini,” kata Page menerusi laman blognya.

Page menyerahkan tanggungjawab besar ini kepada Pichai kerana kesetiaannya kepada Google dan berikrar untuk terus membimbing Pichai yang menyertai Google pada 2004.

Sebelum ini Pichai bertanggungjawab ke atas pentadbiran, bahagian kejuruteraan dan penyelidikan untuk produk dan platform Google.

Dia juga pernah mengetuai Google Android, Chrome dan Apps, serta bekerja rapat dengan bahagian produk pelanggan.

Pichai adalah sebahagian daripada pasukan yang memperkenalkan penyemak imbas Chrome pada 2008 dan juga Google Toolbar, Desktop Search, Gadgets dan Google Gears.

Sebelum menyertai Google, Pichai bekerja sebagai jurutera di Applied Materials, kemudian di syarikat perundingan McKinsey.

Berasal dari Tamil Nadu, India, Pichai memperolehi Ijazah Sarjana Muda Teknologi daripada Indian Institute of Technology Kharagpur.

Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Sains dari Stanford University dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Wharton School, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Page berkata, Pichai adalah orang yang paling sesuai dan layak untuk membawa Google ke tahap yang seterusnya.

Artikel Lain