KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yakin satu perjanjian muktamad dapat dimeterai dengan pihak terpilih berkaitan syarikat aset tenaganya, Edra Global Energy Bhd (Edra), pada suku keempat tahun ini. Dalam satu kenyataan, Jumaat, 1MDB berkata penyelesaian dijangka dapat dicapai tidak lama selepas syarat-syarat terdahulu dipenuhi. "Lembaga Pengarah 1MDB akan berpandukan, antaranya, memaksimumkan nilai kepada pemegang sahamnya, kepastian urus niaga dan syarat-syarat yang adil dan munasabah," kata syarikat itu. 1MDB sehingga kini telah menyenarai pendek sekumpulan pihak berpotensi terpilih, yang merangkumi pelabur strategik tempatan dan antarabangsa, untuk memulakanm usaha wajar terperinci ke atas Edra yang merupakan pemegang aset-aset tenaganya, kata syarikat itu. "Proses usaha wajar ini akan melibatkan, antaranya, perbincangan dengan pihak pengurusan, akses kepada data dan lawatan tapak, yang dirangka bagi memudahkan mereka membuat ulasan dan kajian berkenaan Edra," katanya. Sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi yang diumumkan Kementerian Kewangan pada 29 Mei, 1MDB secara aktif meneruskan pelbagai pilihan berkaitan penjanaan dana untuk aset tenaganya di bawah Edra. -- Bernama