suria

Pengeluaran Getah Asli Naik 1.9 Peratus Pada Julai

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia pada Julai 2015 naik 1.8 peratus, atau 956 tan metrik, kepada 54,728 tan metrik berbanding bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, berbanding tahun sebelumnya, pengeluaran menunjukkan penurunan sebanyak 9.3 peratus, atau 5,603 tan metrik, demikian menurut Jabatan Perangkaan menerusi kenyataan Jumaat.

Menurut jabatan itu, sumbangan terbesar pengeluar getah asli adalah dari sektor pekebun kecil iaitu 91.2 peratus dan selebihnya dari sektor estet.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, pengeluaran dari sektor pekebun kecil menunjukkan peningkatan sebanyak dua peratus manakala pengeluaran dari estet susut 0.1 peratus.

Eksport getah asli pada Julai 2015 berjumlah 80,288, bertambah sebanyak  13,903 tan metrik, atau 20.9 peratus, berbanding bulan sebelumnya dan 28,516 tan metrik, atau 55.1 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah eksport berkenaan, Getah Mutu Malaysia (SMR) menyumbang  96.7 peratus dengan 70.6 peratus adalah SMR 20.

Komoditi berkenaan dieksport terutamanya ke China (62.9 peratus), diikuti Jerman (10.5 peratus), Iran (4.2 peratus), Amerika Syarikat (3.7 peratus), Finland (1.6 peratus), Taiwan (1.3 peratus), Korea Selatan (1.1 peratus), Perancis (0.9 peratus) dan Mexico (0.9 peratus).

Import getah asli pada Julai 2015 berjumlah 78,608 tan metrik, naik 10,123 tan metrik, atau 14.8 peratus berbanding Jun tetapi turun 3,970 tan metrik, atau -4.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Thailand (48.7 peratus) dan Vietnam (27.8 peratus) merupakan pembekal utama.

Penggunaan domestik getah asli adalah sebanyak 40,129 tan metrik pada Julai 2015, turun 644 tan metrik (-1.6 peratus) berbanding Jun 2015 tetapi apabila dibandingkan dengan Julai 2014, menunjukkan peningkatan sebanyak 3,708 tan metrik (+10.2 peratus).

Paras stok getah asli pada akhir Julai 2015, dicatatkan sebanyak 129,694 tan metrik, berkurangan sebanyak 1,387 tan metrik (-1.1 peratus) berbanding Jun 2015.

Harga purata bulanan lateks pekat direkodkan sebanyak 438.23 sen sekilogram, turun 11.7 peratus daripada bulan lepas.

Bagi perbandingan tahun sebelumnya, harga purata jatuh 3.5 peratus, atau 15.67 sen.

Seramai 12,180 orang diambil bekerja di estet pada Julai 2015 yang mana seramai 12,176 orang adalah pekerja bergaji dengan bayaran gaji dan upah berjumlah RM14.9 juta.

Produktiviti pengeluaran getah asli pada Julai 2015 meningkat 0.2 peratus kepada 124.9 kilogram sehektar berbanding Jun 2015, tetapi turun 5.9 peratus, atau 7.9 kilogram sehektar pada bulan yang sama tahun lepas.-- Bernama


getah asli, Malaysia

Artikel Lain