suria

Fasa Pertama Aspen Vision City Siap 2018

BATU KAWAN: Aspen Vision City Sdn Bhd, syarikat usaha sama Aspen Group dan Ikano Pte Ltd, menjangka fasa pertama projek pembangunan bercampur-campur bersepadu, Vision City, siap pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk M. Murly berkata fasa satu projek ialah 'Vervea' iaitu segmen komersil berpagar dan berpengawal di atas kawasan seluas lebih 14 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM776 juta.

"Pembinaan dijangka bermula sebaik kerja-kerja tanah siap pada hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran majlis pecah tanah projek oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, di sini, Isnin.

Katanya projek merangkumi premis IKEA pertama di wilayah utara, Columbia Asia Medical Centre dan taman utama seluas 10 hektar.

Mengenai keseluruhan projek Vision City, beliau berkata pembangunan itu yang dirancang di atas kawasan berkeluasan lebih 99 hektar, mempunyai GDV RM8.4 bilion dan dijangka siap menjelang 2025.

Vision City adalah pembangunan bercampur-campur yang komprehensif dengan prasarana kelas pertama serta komponen kediaman dan komersial, katanya.

"Kami percaya semua ini bukan sahaja menghidupkan wilayah utara tetapi juga merangsang kegiatan komersial baharu, mewujudkan peluang pekerjaan serta kegiatan ekonomi," katanya.

Sementara itu, Lim berkata Majlis Perbandaran Seberang Prai sedang mengusahakan perincian pelan bandar satelit baharu bagi Batu Kawan.

Bandar satelit baharu ini adalah lebih luas berbanding kawasan perbandaran Batu Kawan sedia ada, dan akan merangkumi kawasan kejiranannya, kata Lim.

"Pengumuman lanjut akan dibuat dalam tempoh sebulan," katanya, menambah nama Batu Kawan dikekalkan namun bandar baharu itu akan turut meliputi Aspen City Vision, Penang Design Village dan universiti.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan