suria

EcoWorld Beli Tanah Di Kuala Selangor Secara Tunai RM1.18 Bilion

KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd membeli tanah pegangan pajak seluas 880 hektar di Ijok, Kuala Selangor, dengan harga  RM1.18 bilion secara tunai.

Tanah itu terletak kira-kira 45 kilometer (km) dari pusat bandar Kuala Lumpur, 40km dari pusat bandar Petaling Jaya dan 18km dari pusat bandar Sungai Buloh.

Pengerusinya, Tan Sri Liew Kee Sin dalam satu kenyataan berkata peluang untuk membeli tanah seluas 800 hektar di Lembah Klang merupakan suatu yang jarang berlaku.

"Pembelian strategik ini akan membolehkan EcoWorld mempunyai kedudukan dominasi di koridor pertumbuhan barat laut Lembah Klang dengan akses ke kawasan pasaran baharu," katanya.

Ketika ini, EcoWorld memiliki tiga pembangunan di Lembah Klang -- Eco Sky (Taman Wahyu, Jalan Ipoh); Eco Majestic (Semenyih); dan, Eco Sanctuary (Shah Alam).

EcoWorld telah mengenal pasti tiga projek yang akan dibangunkan di tanah tersebut, perbandaran eko campuran dikenali sebagai 'Eco Gardens', hab perindustrian bersepadu 'Eco Business Park V' dan rumah mampu milik dikenali sebagai 'Laman Indah' yang termasuk unit perumahan yang akan dibina bagi peneroka dan rumah bagi projek Rumah Selangorku.

Keseluruhan projek dijangka mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan dengan nilai pembangunan kasar diunjur kira-kira RM15 bilion.

EcoWorld juga mengumumkan ia sedang dalam proses memperhalusi perkongsiannya bagi model perniagaan pertumbuhan untuk mengumpulkan pembiayaan ekuiti pada peringkat projek.

Model perniagaan itu mempertimbangkan pembelian awal tanah strategik oleh  EcoWorld diikuti pelawaan kepada institusi, ekuiti swasta atau rakan kongsi korporat untuk melabur bersama dan membiayai pembangunan itu, kata syarikat tersebut.

Ini akan membolehkan EcoWorld membeli tanah strategik yang luas tanpa membebankan lembaran imbangannya.

"Dalam dua tahun lepas kami menerima banyak pertanyaan daripada dana institusi serta pemain industri dan korporat yang melahirkan minat mereka untuk melabur secara terus dalam projek pembangunan bersama kami, terutamanya dalam segmen perbandaran kediaman bertanah.

"Sekarang dengan kami menemui tanah yang luas di lokasi pertumbuhan penting, kami akan menimbang peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi itu untuk membangunkan bersama tanah tersebut," kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chang Khim Wah.

Khim Wah berkata, EcoWorld berhasrat untuk mengekalkan minimum 30 peratus ekuiti dalam pembangunan itu di bawah cadangan perkongsian bagi model pertumbuhan tersebut untuk memastikan Kumpulan menikmati bahagian yang bermakna daripada keuntungan pembangunan. -- Bernama

EcoWorld, Kuala Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain