suria

Kebakaran Hutan Indonesia Dijangka Rangsang Pasaran Getah Malaysia

KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap bekalan serantau disebabkan kebakaran hutan di Indonesia dapat merangsang sentimen positif dalam pasaran getah Malaysia minggu depan, kata seorang peniaga.

"Akan ada pembetulan dalam harga dan harga minggu depan dijangka dipengaruhi oleh kebakaran hutan yang sedang berlaku di Sumatera dan Kalimantan memandangkan dua lokasi ini dikenali sebagai kawasan perladangan getah utama," katanya ketika dihubungi hari ini.

Senario semasa yang mengunjurkan pengeluaran getah lebih rendah akan turut membantu mengangkat sentimen positif pasaran terutama apabila harga komoditi secara relatifnya adalah rendah sekarang, katanya.

Beliau juga berkata permintaan terhadap komoditi akan meningkat memandangkan peniaga bimbang tentang kekurangan bekalan.

Di peringkat rantau, harga di Bursa Komoditi Tokyo meningkat pada Jumaat, dibantu oleh belian harga rendah selepas merekodkan kejatuhan lebih tiga peratus semalam.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi penjual Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik 18.5 sen kepada 547 sen sekilogram manakala lateks pukal susut tiga sen kepada 411.5 sen sekilogram.

Harga penutup penjual tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 naik 23.5 sen kepada 546.5 sen sekilogram manakala lateks pukal tidak berubah pada 413 sen sekilogram.

Getah, Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Lain