suria

Iskandar Malaysia Terima Pelaburan Baru Melebihi RM25 Bilion

JOHOR BAHARU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) optimis untuk mencapai sasaran pelaburan baharu bagi Iskandar Malaysia tahun ini dengan jumlah kini melepasi RM25 bilion pada minggu pertama bulan ini.

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata dengan perkembangan itu, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran RM30 bilion yang ditetapkan menjelang akhir tahun ini.

"Pihak kami sudah boleh memuktamadkan angka-angka sehingga penggal ketiga bagi tahun ini, yang saya jangka melepasi angka RM25 bilion yang bakal diumumkan sedikit masa lagi," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Rendah Karbon Asia di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah memperkenalkan usaha yang lebih agresif bagi mempamerkan Wilayah Iskandar sebagai wilayah yang menarik untuk pelabur meskipun berdepan dengan keadaan ekonomi global yang tidak stabil.

"Pendekatan agresif itu termasuklah memastikan segala prasarana dan infrastruktur dibangunkan dari semasa ke semasa untuk memastikan bahawa prasarana ini membentuk satu ekosistem yang menarik bagi pelaburan kerana pelabur melihat perkara ini," kata beliau.

Ismail berkata selain itu, pihaknya turut meningkatkan sistem penyampaian dan memperkenalkan wilayah Iskandar menerusi program promosi menerusi penyertaan progam misi perdagangan yang diadakan di dalam mahupun di luar negara.

IRDA, Iskandar Malaysia

Artikel Lain