suria

3 Projek Utama Penting Untuk Mengukuh Kedudukan - CEO Petronas

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata, pelaburannya di Kanada dan Pengerang, Johor serta projek gas asli cecair terapung (FLNG) akan membantu mengukuhkan kedudukannya sebagai minyak dan gas multinasional bersepadu sepenuhnya.

Dalam satu temubual eksklusif dengan New Straits Times (NST), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, tiga projek besar syarikat minyak gergasi negara itu telah dipersetujui sebagai pelaburan jangka panjang untuk mengukuh kedudukan jangka panjang Petronas.

Menurutnya, projek LNG Kanada bernilai US$36 bilion itu berdaya maju kerana pelaburan besar itu adalah pelaburan yang tepat dan berjangka panjang untuk syarikat berikutan ia kini penggiat LNG ketiga terbesar di dunia.

"Hari ini hanya terdapat satu syarat yang masih tinggal, iaitu kelulusan persekitaran.

"Sebaik sahaja kami memperoleh kelulusan, usaha sama itu akan meneruskan projek berkenaan. Kami berharap untuk memulakannya pada suku pertama 2016," katanya dalam temubual itu, kali pertama diberi kepada akhbar sejak memegang jawatan nombor satu itu pada April.

Wan Zulkiflee juga mempertahankan satu lagi projek besar Petronas, iaitu Projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) bernilai RM60 bilion di Pengerang, Johor.

Rapid akan menjadi kompleks petroleum bersepadu terbesar di Asia kerana kilang penapisan itu akan mempunyai kapasiti 300,000 tong sehari, katanya. 

"Ia akan memproses minyak mentah diimport. Produk petroleum itu adalah untuk pasaran domestik. Produk Petchem adalah untuk eksport. 

"Kita adalah pengimport bersih produk petroleum. Dengan RAPID, kita akan dapat melambatkan import," katanya.

Wan Zulkiflee berkata, kemuncak pembinaan RAPID ialah pada 2017 apabila kira-kira 55,000 orang dijangka bekerja di tapak berkenaan.

"Pelbagai cabaran perlu dihadapi tetapi kami menyediakan sumber bagi memastikan dapat mengurangkan semua risiko dan diharapkan menjelang 2019, kami akan dapat menyiapkan kilang penapisan itu," katanya.

Dua kemudahan FLNG syarikat itu bernilai US$4.5 bilion, kini dalam pembinaan di Korea Selatan. 

"Ini adalah projek yang tepat untuk Petronas. Walaupun wujud kebimbangan tetapi dalam jangka panjang, kita mempunyai sumber yang besar, kita adalah penggiat LNG besar dan kita telah menguasai pasaran," tambah Wan Zulkiflee.

-- Bernama 


Artikel Lain