suria

Matrade Lancar Festival Makanan Di Shanghai

Nazri melawat ruang pameran produk makanan Malaysia yang memasuki pasaran China selepas merasmikan 'Pesta Makanan Malaysia' anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) malam Rabu. - fotoBERNAMA

SHANGHAI: Festival Makanan Malaysia anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menerusi Program Dapur Malaysia di sebuah hotel terkemuka di sini, dijangka menarik 200 pelanggan setiap hari.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Shanghai, Mansor Shah Wahid berkata program yang dijalankan dengan kerjasama Shanghai Marriott Hotel City Centre itu bertujuan mempromosikan juadah asli Malaysia selain meningkatkan peluang perdagangan bukan sahaja makanan tetapi juga bukan makanan dan perkhidmatan.

Festival ini berlangsung dari 14 Oktober hingga 28 November, katanya kepada Bernama selepas pelancaran festival oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, di sini malam Rabu.

Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai, Tan Yang Thai dan Pengurus Besar Shanghai Marriott Hotel City Centre, Jessie Zhang.

Mansor berkata selain mempromosikan makanan, program turut melibatkan penyertaan peruncit bagi membolehkan pengguna yang menggemari masakan Malaysia membeli produk akhir seperti rempah-ratus dan sos.

Selain itu, Matrade juga merancang mempromosikan industri fesyen Malaysia di China di samping menggalakkan rakyat Malaysia meneroka segmen makanan dan minuman, katanya.

Sementara itu, Zhang berkata ini adalah kali kedua hotel berkenaan bekerjasama dengan Matrade dalam mempromosi juadah Malaysia selain memperkenalkannya kepada tetamu antarabangsa.

Katannya kali pertama ia dianjurkan pada 2013 selama tiga minggu dan mendapat sambutan yang positif.

"Juadah seperti sate, laksa, sup ekor dan teh tarik antara yang menjadi kegemaran," katanya.

Cef Sariman Jamil pula berkata juadah Malaysia sentiasa mendapat permintaan di pasaran China dengan semakin ramai penduduk menggemari rasa dan rempah-ratus yang diguna dalam masakan tradisional Malaysia.

Festival makanan Malaysia akan menggalakkan lebih ramai usahawan mencari peluang dalam pasaran negara ini yang besar, katanya yang telah tiga tahun menjadi cef di China. - BERNAMA

festival makanan, Shanghai, Matrade

Artikel Lain