KUALA LUMPUR: Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) telah melabur RM2.95 juta dalam SimplyGiving.com, platform pendanaan orang ramai yang berkembang paling pesat di Asia, bagi membantu perusahaan sosial dan bukan berasaskan keuntungan, melibatkan diri dengan penyokong dalam talian. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAVCAP, Jamaludin Bujang berkata, melalui pelaburan langsung dan dana MAVCAP, syarikat itu menyaksikan berapa perkara besar mula berlaku dan ia sentiasa berminat dalam syarikat yang membuat sumbangan positif melalui teknologi. MAVCAP, dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan untuk memupuk syarikat ICT, berada di tengah ekosistem pelaburan yang semakin berkembang di rantau ini. "Platform SimplyGiving.com telah membolehkan hampir 30,000 orang menyokong usaha sosial kegemaran mereka melalui derma dalam talian. "Model perniagaan itu kukuh dan kami percaya mereka mempunyai pasukan yang tepat dengan teknologi yang tepat untuk menjayakan usaha mereka itu," kata Jamaludin dalam satu kenyataan. Sementara itu, CEO SimplyGiving.com, Kristofer Rogers yakin pendanaan orang ramai akan merubah secara dramatik cara perusahaan sosial dan bukan berasaskan keuntungan di seluruh Asia, dibiayai. "Pendanaan sosial adalah cara yang sangat telus dan berkesan untuk menyokong pelbagai usaha dan dapat meningkatkan hasil mereka," tambahnya.