CYBERJAYA: Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM132.566 bilion tahun depan, selepas mengambil kira penurunan harga petroleum yang kini berada di bawah US$49 setong. Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata bagaimanapun kutipan tersebut turut bergantung kepada keadaan ekonomi semasa dunia, terutama naik turun harga minyak. "Kita akan berusaha untuk mencapai sasaran tersebut dan kita yakin, ia akan dapat dicapai dengan pertumbuhan ekonomi semasa negara serta jika tidak berlaku kegawatan ekonomi dunia," katanya selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi LDHN 2015 di sini, Isnin. "Kita memantau situasi ini, lebih-lebih lagi apabila kutipan zon tiga digit iaitu RM100 bilion untuk tahun ini dicatatkan pada 30 Oktber berbanding 5 Oktober pada tahun lepas berikutan kedudukan ekonomi semasa yang tidak begitu memberangsangkan," katanya. Mohd Shukor berkata untuk kutipan tahun ini, Kementerian Kewangan juga menurunkan sasaran awal daripada RM142 bilion kepada sekitar RM130 bilion ekoran kejatuhan harga minyak. "Keadaan (kejatuhan harga minyak) memberi kesan ke atas seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali," katanya. Pada 2010 kutipan cukai berjumlah RM86 bilion, 2011 (RM109 bilion), 2012 (RM125 bilion) dan 2013 sebanyak RM129 bilion manakala pada 2014 berjumlah RM134 bilion. Dalam pada itu, dari segi jumlah pembayar cukai, beliau berkata walaupun kerajaan telah meningkatkan jumlah had pelepasan peribadi dan sebagainya, namun jumlah pembayar cukai biasanya akan bertambah dalam lingkungan 10 peratus setiap tahun.