KUALA LUMPUR: Terimaan eksport denominasi ringgit Malaysia dijangkakan berkembang pada kadar 5.2 peratus tahun ke tahun pada suku kempat tahun ini walaupun dagangan global lemah, dan pertumbuhan eksport setahun penuh, dijangkakan sebanyak 1.2 peratus. Kenanga Research, dalam nota kajiannya hari ini berkata angka eksport yang rendah pada suku keempat tahun lepas menyediakan asas perbandingan yang rendah, yang dijangka membantu mengekalkan pertumbuhan eksport pada suku keempat 2015. "Berdasarkan purata harga unit petroleum mentah yang mula turun pada September 2014, dan gas asli cecair lima bulan kemudaian, penurunan tahun ke tahun dalam eksport minyak dan gas akan terus berkurangan pada suku keempat 2015 dan suku pertama 2016, dan meningkatkan angka pertumbuhan eksport," katanya. Keuntungan eksport pada suku ketiga menunjukkan tempoh pengakhiran penurunan pertumbuhan eksport yang dicatat pada separuh pertama 2015, kebanyakannnya disebabkan oleh terimaan denominasi ringgit yang semakin meningkat. Import bagaimanapun diunjurkan susut kepada 0.2 peratus bagi tempoh setahun penuh, kata Kenanga. "Dagangan dan imbangan akaun semasa dijangka tidak menghadapi masalah dan kekal selesa dalam lebihan dan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar bagi suku ketiga 2015 dijangka tidak berubah pada 5.1 peratus tahun ke tahun," katanya.