suria

AirAsia Lancar Aplikasi Mudah Alih Baharu

KUALA LUMPUR: AirAsia melancarkan aplikasi mudah alih baharu menawarkan ciri-ciri inovatif baharu, fungsi lebih lancar, dan antara muka bertambah baik bagi memberikan pelanggannya pengalaman penerbangan lebih baik dan lancar.

AirAsia menerusi kenyataannya berkata, aplikasi mudah alih itu dicalonkan untuk anugerah "Aplikasi Penerbangan Kos-Rendah Terulung Dunia' bagi Anugerah Pengembaraan Dunia yang akan datang.

Ketua Kumpulan Pegawai Komersial AirAsia Siegtraund Teh berkata, syarikat itu sentiasa melabur dalam teknologi dan inovasi untuk menjadikan penerbangan lebih mudah dan menyeronokkan bagi para pelanggan.

"Sudah terdapat lebih 9 juta muat turun aplikasi mudah alih AirAsia pada kedua-dua platform iOS dan Android, dan kami berharap lebih ramai akan mengetahui kemudahan aplikasi mudah alih yang baharu dan lebih baik ini," katanya.

Antara ciri-ciri aplikasi tersebut ialah "Add to Calendar", yang akan secara automatik memautkan penerbangan akan datang ke dalam kalendar; proses menempah penerbangan yang lebih cepat dan mudah; pendaftaran masuk dan pengalaman "Manage My Booking" lebih baik dengan pelanggan boleh memasukkan pelbagai tambahan dalam tempahan penerbangan mereka.

Aplikasi ini boleh dimuat turun dari kedai aplikasi kedua-dua peranti iOS dan Android, dan boleh didapati dalam 11 bahasa - Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia, bahasa Cina tradisional (Taiwan dan Hong Kong), bahasa Cina Dipermudah (China), Thailand, Korea, Jepun, Vietnam dan Arab.-- Bernama


AirAsia, Siegtraund Teh

Artikel Berikut

Artikel Lain