suria

MDeC Lancar Program e-Usahawan Untuk Percepat Keusahawanan Digital

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) melancarkan program e-Usahawan bertujuan memberi inspirasi dan mendedahkan belia Malaysia dan usahawan mikro kepada keusahawanan digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yasmin Mahmood berkata menerusi program itu, pendidikan keusahawanan digital digemblengkan dalam kurikulum pusat pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) utama di seluruh negara serta diperluas kepada komuniti usahawan mikro melalui kursus jangka pendek.

Program dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan rakan kongsi industri termasuk Jabatan Pendidikan Politeknik, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Mara, Persatuan Eksekutif Perniagaan, eSentral, Celcom, Karangkraf dan Lelong.My.

Yasmin berkata silibus program diuji dalam projek perintis melibatkan 147 kampus empat TVET terbesar negara pada Julai tahun ini dan keputusannya memberangsangkan.

"Projek perintis itu merangkumi latihan kepada 423 pensyarah sebagai pelatih induk dan 2,363 pelajar mengikuti kurikulum tersebut. Setakat ini 2,148 pelajar mewujudkan kehadiran dalam talian dengan 78 peratus berjaya menjana pendapatan.

"Keusahawanan telahpun diwajibkan untuk pelajar tahun akhir TVET. Menerusi eUsahawan, mereka akan didedahkan kepada aspek digital yang diterapkan dengan baik dalam kurikulum," katanya pada taklimat media, di sini, Rabu.

Yasmin berkata buku teks untuk kurikulum itu diterbitkan dalam dua bentuk iaitu versi bercetak oleh Karangkraf dan e-buku interaktif oleh eSentral yang kini boleh dibeli.

"Bagi menggalakkan e-dagang, pelajar TVET turut ditawarkan premis dalam talian secara percuma menerusi laman web Lelong.com untuk memulakan perniagaan sepanjang mengikuti program.

"Bagi meningkatkan pemindahan pengetahuan, pensyarah kini dibenarkan oleh kerajaan untuk menjadi usahawan digital dan meraih pendapatan daripada perniagaan," katanya.

Untuk usahawan mikro, kursus itu dimampatkan dalam tempoh empat hari menerusi projek perintis dan 165 usahawan yang menyertai program tersebut berjaya meraih sekitar RM390,000 dalam tempoh tiga bulan, katanya.

"eUsahawan akan diperluaskan kepada dua atau tiga TVET tahun depan termasuk GiatMara dan Institut Kemahiran Belia Negara.

"Ia dijangka diperluas kepada 15 TVET dan 463 pusat di seluruh negara bagi mendedahkan e-dagang kepada lebih 200,000 pelajar serta usahawan mikro menjelang 2020," katanya. -- Bernama

e-Usahawanan, MDeC

Artikel Sebelum

Petronas Raih Dua Anugerah Global

Artikel Berikut

Artikel Lain