KUALA LUMPUR: Subsidiari Maxis Communications Bhd dan Sindya Securities and Investments Ptd Ltd, Aircel Ltd terlibat dalam perbincangan eksklusif selama bertempoh 90 hari bagi mempertimbangkan penggabungan perniagaan tanpa wayar mereka dengan Reliance Communications (RCOM). Maxis Communications menguasai 74 peratus kepentingan dalam Aircel manakala bakinya dimiliki oleh Sindya Securities and Investments. Pada 2.45 petang, harga saham Maxis Bhd naik 15 sen kepada RM6.69 dengan 676,400 saham diniagakan. Dalam satu kenyataan, RCOM berkata gabungan RCOM, perniagaan tanpa wayar India dan Aircel dapat memberi manfaat besar kepada pengukuhan dalam negara, termasuk dari segi sinergi perbelanjaan operasi dan perbelanjaan modal serta peningkatan pendapatan. "Gabungan berpotensi ini tidak akan melibatkan infrastruktur menara dan gentian optik RCOM yang akan dijual seperti diumum pada 4 Dis 2015. "Perbincangan ini bersifat tidak terikat. Sebarang transaksi akan tertakluk kepada antaranya kelulusan pemegang saham dan pihak ketiga," katanya, menambah perbincangan belum tentu membuahkan transaksi. Reliance Communications Ltd yang diasaskan oleh mendiang Shri Dhirubhai H. Ambani, adalah syarikat utama Reliance Group.